TEMPOH kendalian Pau Marti Vicente sebagai pengendali sementara Harimau Malaya akan diberikan sehingga kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin pada Khamis berkata, penilaian terhadap jurulatih Sepanyol itu akan dibuat berdasarkan persembahan pasukan.
"Pada September, kita akan dua perlawanan dan empat aksi lagi sudah dijadualkan pada Oktober dan November. Selepas itu, Harimau Malaya akan bersaing dalam Pestabola Merdeka," katanya.
BACA LAGI: Belum sempat jumpa Harimau Malaya, jurulatih Filipina letak jawatan sebelum Pestabola Merdeka
BACA LAGI: 'Yakin 75% Pestabola Merdeka milik Harimau Malaya, ketiadaan UM beri kesan suram'
Jurulatih berusia 40 tahun berkenaan sebelum ini merupakan pembantu kepada Kim Pan-gon sebelum dinaikkan pangkat setelah pengendali dari Korea Selatan itu memilih untuk meletakkan jawatan.
Ujian pertama bakal dihadapi Pau Marti dalam masa terdekat adalah pertembungan dengan Filipina dalam saingan separuh akhir Pestabola Merdeka yang akan berlangsung pada 4 September depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Terdapat kira-kira 12 perlawanan bagi Pau Marti membuktikan dirinya. — Facebook/FAM
Menurut Hamidin, pengendali berkenaan bakal akan dinilai terlebih dahulu sebelum seorang jurulatih dibawa masuk dengan beberapa calon lain sudah dikenal pasti.
Hamidin turut menjelaskan bekas pengendali skuad kebangsaan Vietnam, Park Hang-seo merupakan salah seorang calon yang berada dalam radar FAM.
"Kita akan menilai prestasi Pau Marti, kita bagi peluang kepada untuk membuktikan kemampuan mengendalikan Harimau Malaya. Namun, pada masa sama kita juga ada melihat beberapa jurulatih lain. Salah seorang adalah Hang Seo," katanya.
Untuk rekod, Hang Seo pernah dilaporkan berminat untuk mengendali Harimau Malaya, sebelum FAM memilih untuk melantik Pan-gon.
Nama pengendali dari Korea Selatan itu kembali dikaitkan dengan Harimau Malaya selepas peletakan jawatan oleh Pan-gon pada pertengahan bulan lalu.
Selain itu, Hamidin menegaskan bahawa FAM mahu yang terbaik buat skuad kebangsaan dan berharap ranking negara akan terus melonjak.
"Saya mahu yang terbaik untuk pasukan kebangsaan. Kita mahu pasukan kebangsaan berada pada prestasi terbaik," kata Hamidin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram