Skrip sama berulang, Wan Kuzain dilema nak pilih Malaysia atau USA sampai sekarang


  • Podium
  • Isnin, 04 Dis 2023

Wan Kuzain (kanan) mencetuskan sensasi di Liga Amerika Syarikat bersama kelabnya St. Louis City SC. — Instagram/Kuzain

NAMA Wan Kuzain Wan Kamal sekali lagi dilaung pada tahun ini apabila pemain profesional berpangkalan di Amerika Syarikat itu difahamkan bersedia untuk mewakili skuad Harimau Malaya sekiranya dipanggil pada masa akan datang.

Walaupun pendedahan tersebut disuarakan oleh ayah kandung mereka, Wan Kamal menerusi komen di laman sosial Facebook sekitar Jun lalu namun sehingga kini masih tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ada kemungkinan hasrat untuk melihat pemain kelab St. Louis City SC itu menyarung jersi kebangsaan belum tercapai disebabkan dia masih dilema sama ada untuk mewakili Amerika Syarikat ataupun Malaysia.

Ini bukan kali pertama Wan Kuzain masih dilema dalam membuat keputusan untuk mewakili Malaysia mahupun negara Uncle Sam itu kerana pada 2018, senario dan skrip sama turut berlaku.

Memetik laporan media pada lima tahun lalu, pemain berusia 25 tahun itu menganggap ketua-dua negara berkenaan bermakna dalam kehidupannya dan terbuka untuk mewakili mana-mana pasukan.

“Keturunan saya ada di sini dan kebanyakan ahli keluarga saya ada di sini. Malaysia adalah tanah air saya. Saya ingin menunjukkan kepada kanak-kanak di sini bahawa ada kemungkinan untuk bermain di peringkat tertinggi dan cara yang lebih baik adalah dengan bermain untuk Malaysia.

“Tetapi sekarang, ia masih 50-50. Ia adalah satu penghormatan untuk bermain untuk Malaysia, tetapi saya boleh bermain di Amerika Syarikat juga. Kedua-dua negara amat bermakna bagi saya. Apabila tiba masanya, ia akan menjadi keputusan yang susah,” katanya pada 2018.

WhatsApp Image 2023-12-04 at 13.38.36-3

Wan Kuzain (kiri) pernah menyertai latihan Harimau Muda bagi saingan Sukan SEA 2019. — Agensi

Wan Kuzain yang dilahirkan di Amerika Syarikat ketika itu mengikuti perkembangan Harimau Malaya dalam Piala Suzuki AFF dan berbangga dengan kejayaan Malaysia mara ke final, selain kagum dengan persembahan Muhammad Akhyar Rashid dan Muhammad Safawi Rasid.

Arkitek yang turut berkemampuan beraksi sebagai pemain sayap itu berkata, ramai bekas rakan sepasukan bawah 17 tahun Amerika Syarikat sudah dinaikkan pangkat untuk bermain dalam kejohanan peringkat tinggi dan bola sepak mempunyai pengikut di Amerika

“Ramai kawan saya membesar bersama bermain untuk Amerika Syarikat. Saya harap satu hari nanti saya boleh bermain dengan atau menentang mereka.

“Saya bermain dengan pemain seperti Christian Pulisic (Borussia Dortmund) dan Weston McKennie (Schalke) beberapa tahun lalu. Saya berharap dapat mencapai tahap mereka satu hari nanti,” katanya pada laporan media 2018.

Produk dari Sporting Kansas City Academy, Wan Kuzain memulakan kerjayanya dengan Southern Illinois Futbol Club (SIFC – Force) sebelum berpindah ke akademi Saint Louis FC dan kini beraksi bersama St. Louis City SC.

Wan Kuzain atau lebih dikenali sebagai ‘Kuz’ atau ‘The Wizard’ oleh rakan sepasukannya pernah menentang pemain seperti Didier Drogba, Zlatan Ibrahimovic dan Wayne Rooney di USL dan MLS. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram