[VIDEO] Faisal Halim hadir beri sokongan buat HM, seru fans jangan boikot skuad kebangsaan


  • Podium
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Faisal Halim (tengah) bersama Hamidin sebelum sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

PEMAIN sayap kebangsaan, Faisal Halim melakukan kunjungan mengejut ke Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor bagi memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang memulakan latihan berpusat pada Khamis.

Menurutnya, kunjungan itu sedikit sebanyak membawa perasaan sebak kerana selalunya, dia hadir ke pusat latihan sebagai pemain dan bukan sebagai penyokong.

"Saya datang hari ini (selepas) Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin hubungi saya untuk datang sebagai pembakar semangat buat rakan-rakan dan saya pun rindu saat ini.

"Sebenarnya, saya sedih kerana tidak dapat bersama-sama pasukan. Saya sudah melalui pelbagai tahun dan inilah tempat saya berjuang bagi pasukan kebangsaan," katanya.

BACA LAGI: 'Pan-gon tak jujur', Hamidin buka kisah sebenar, anggap FAM tak perlu dipersalahkan

BACA LAGI: Ibarat jambatan sedang terbakar, Hamidin perlu berundur elak FAM 'roboh kehangusan'

Pemain berusia 26 tahun itu juga kelihatan sebak ketika ditanya mengenai perasaannya hadir ke pusat latihan tersebut memandangkan sebelum ini, dia hadir bagi menyertai sesi bersama rakan sepasukan.

Namun, kali ini, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey hanya hadir dengan status penyokong memandangkan dia masih belum berada di tahap kecergasan terbaik.

"Saya sudah banyak tahun (bersama Harimau Malaya), inilah tempat saya berjuang untuk pasukan kebangsaan dengan rakan-rakan dan jurulatih. Tapi hari ini saya datang sebagai tetamu melihat rakan berlatih.

"Saya berasa tak lama lagi saya akan kembali, Insya-ALLAH. Saya harap semua dapat doakan dan saya tak sabar untuk kembali," katanya.

Faisal menjadi mangsa simbahan asid pada Mei lalu apabila dia secara tiba-tiba didatangi individu tidak dikenali yang menyiram cecair itu ketika penyerang sayap berkenaan berada di pusat membeli-belah.

2276639

Kehilangan Faisal Halim sememangnya amat dirindui peminat. Facebook/FAM

Namun, sehingga kini, pihak polis masih buntu untuk mengenal pasti pelaku meskipun terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tersebar di media sosial.

Persiapan skuad kebangsaan dibuat menjelang saingan Pestabola Merdeka dengan Harimau Malaya bakal berdepan Filipina dalam aksi pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 4 September.

Dalam pada itu, Faisal juga sempat menyeru sokongan peminat skuad kebangsaan yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk tidak hadir sebagai tanda protes terhadap FAM.

"Saya tidak berasakan itu perkara yang positif sekiranya penyokong kita mahu boikot kerana pasukan kebangsaan memerlukan sokongan dalam keadaan ketika ini.

"Kita kehilangan coach Pan-gon dan sekarang kita bersama coach Pau (Marti Vicente). Kita juga perlu sokong FAM, terutamanya buat Datuk Hamidin.

"Kita sebagai pemain, perlu bermain walaupun tanpa penyokong. Tetapi, apa yang saya harap, Insya-ALLAH, kemungkinan saya sendiri akan turun sekiranya tidak melibatkan hal-hal lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram