KURANG daripada 24 jam perlawanan akhir Piala FA akan membuka tirainya yang menemukan dua sang gergasi Liga Bola Sepak Malaysia antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Sabtu (24 Ogos).
Pertembungan dua gergasi itu pastinya ditunggu-tunggu seluruh penyokong bola sepak tanah air selepas tidak dapatkan menyaksikan aksi Selangor menentang JDT pada awal musim ini.
Ia selepas Selangor menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih susulan insiden berlaku ke atas Muhd Faisal Halim yang disimbah asid oleh individu tidak dikenali Mei lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Jaring 102 gol sepanjang karier antara pro-kontra Nelson Bonilla sertai Terengganu FC
Menerusi perkongsian media sosial kedua-dua finalis, Gergasi Merah dan Harimau Selatan telah turun ke venue rasmi untuk berlatih di SNBJ sekali gus membiasakan diri dengan permukaan rumput serta keadaan hujan semasa perlawanan akhir nanti.
Bagi kem Selangor kesemua pemain dilihat berada dalam kondisi terbaik untuk menentang JDT bagi merebut kejuaraan Piala FA yang kali terakhir dimenangi mereka pada 2009.
Faisal Halim turut kelihatan berada dalam sesi latihan Selangor di SNBJ sekali gus memberi bayangan pemain tersebut mungkin akan turun menentang Harimau Selatan.
Manakala bagi kem Harimau Selatan pula pemilik JDT, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut menyertai sesi latihan pasukannya untuk memberikan semangat buat pemain-pemain Johor.
Kondisi pemain-pemain JDT juga dilihat berada pada tahap terbaik untuk mengekalkan kejuaraan Piala FA di bumi Johor selepas mereka menjuarai kejohanan itu pada musim lalu.
Penyokong juga rindu melihat aksi Mohamadou Sumareh yang sudah lama tidak beraksi dalam kesebelasan utama Harimau Selatan.
Malah nombor jersinya juga kini telah diambil oleh pemain import baharu JDT, Park Jun-heong yang dibawa masuk untuk memperkuatkan benteng pertahanan Harimau Selatan.
Penyokong bola sepak berpendapat sudah tiba masanya untuk Sumareh keluar secara pinjaman demi mendapatkan semula rentak permainannya semasa masih bergelar pemain import sebelum ini.
"Jual tak untung, simpan tak rugi. Barang vintage ini bohh," kata Long Panjang.
"Ada jersi lagi ke? Saja tanya," ujar Rafale Sabre.
"Dia (Sumareh) ini dah boleh dipinjamkan," jelas Shaharudin Shahar.
"Last kena peram (simpan), dengan musim depan dah kena keluar," luah Mar Jack.
Sejak menyertai JDT pada musim 2021, Sumareh hanya tampil dalam 34 perlawanan bersama Harimau Selatan dengan lima jaringan serta empat bantuan gol (assist).
Penurunan statistik Sumareh menurun dengan sangat drastik apabila dia tidak mampu bersaing bersama Arif Aiman yang tampil cemerlang beberapa musim dengan JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram