Ibarat jambatan sedang terbakar, Hamidin perlu berundur elak FAM 'roboh kehangusan'


  • Podium
  • Rabu, 24 Jul 2024

Hamidin menerima desakan hebat untuk meninggalkan jawatannya sebagai Presiden FAM. — The Star/FAIHAN GHANI

SEJAK Kim Pan-gon meletakkan jawatannya sebagai pengendali skuad kebangsaan, rasa tidak puas hati penyokong terhadap badan induk bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semakin meningkat.

Sasarannya adalah presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin yang dianggap menjadi penyumbang kepada permasalahan berlaku dalam bola sepak negara hari ini.

Desakan untuk dia meletakkan jawatan semakin kuat, walaupun Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman mengatakan Hamidin masih orang tepat untuk mengetuai badan tersebut.

BACA LAGI: Terlalu banyak isu panas, Hamidin nampak gentleman andai letak jawatan sebelum habis penggal

BACA LAGI: ‘Jurulatih datang dan pergi’, Hamidin terkilan Pan-gon letak jawatan

Memetik laporan Berita Harian, Datuk Noor Azman berkata Hamidin tidak sepatutnya berundur kerana jasanya kepada bola sepak Malaysia terlalu luas.

"Kita tengok skuad kebangsaan kita dapat memperbaiki ranking daripada sekitar 170 dulu, kita pernah mencapai sehingga tangga ke-130. Presiden FAM banyak memberi sokongan kepada Kim Pan-gon dalam menjalankan tugasnya sebagai jurulatih.

"Tidak hanya melihat kepada prestasi skuad kebangsaan semata-mata, kita pun lihat infrastruktur untuk bola sepak kita semakin bertambah baik dengan idea pembinaan ibu pejabat FAM yang baharu serta Pusat Latihan Kebangsaan (NTC).

"Jadi kalau nak katakan yang Hamidin gagal, mungkin ia perlu diperjelas kegagalan itu kegagalan yang bagaimana?" jelas Noor Azman.

image_2024-07-23_18-05-23

Noor Azman (kiri) berpendapat Hamidin (kanan) adalah orang yang tepat mengemudi FAM. — FAM

Apa yang dikatakan oleh Noor Azman adalah bercanggah dengan penganalisis bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli pernah menasihatkan agar Hamidin bersikap gentleman dengan meninggalkan posisinya di FAM.

Pekan berkata demikian kerana terlalu banyak isu panas melanda FAM seperti isu surat layang, prestasi Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, isu denda terhadap Selangor FC mengenai Piala Sumbangsih dan banyak lagi.

"Saya lihat semakin banyak desakan agar Hamidin berundur. Desakan oleh warga komuniti bola sepak ini semakin kuat selepas isu surat layang serta kegagalan skuad Harimau Malaya ke Piala Dunia 2026 dan tinggal nyawa-nyawa ikan untuk layak ke Piala Asia 2027.

"Peminat tidak meletakkan kegagalan ini kepada Pan-gon tetapi kepada FAM kerana gagal berfungsi membantu Pan-gon dalam menguruskan persiapan pasukan termasuk perlawanan kompetitif sebelum aksi sebenar.

"Isu perlawanan Piala Sumbangsih membabitkan Selangor hingga didenda dan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor dan kemudiannya dihangatkan lagi dengan peletakan jawatan Pan-gon secara tiba-tiba.

"Semuanya dikaitkan dengan pelbagai cerita panas yang masih lagi belum didedahkan dan menghantui perasaan ingin tahu warganet yang sangat kuat. Desakan ini bagi saya sangat-sangat wajar," kata Pekan kepada Majoriti.

Group-D-Malaysia-v-Kyrgyz-Republic-(4)

Impian Malaysia untuk ke Piala Dunia 2026 sudah berakhir.

Jambatan terbakar menanti roboh

Situasi yang berlaku di FAM boleh dianggap sebagai keadaan di mana sebuah jambatan sedang terbakar dan menanti masa untuk roboh akibat kehangusan.

Isu-isu panas yang melanda FAM ibarat api yang membakar jambatan dan jika ia berterusan dengan Hamidin kekal di jawatannya, dikhuatiri akan roboh.

Seandainya Hamidin mahu meneruskan tempohnya sehingga tamat penggal pada 2025 dan menyambungnya lagi, kemungkinan api kemarahan penyokong akan meningkat melainkan dia melakukan keajaiban yang mampu menarik sokongan terhadapnya.

Tapi jika memilih untuk berundur, jambatan yang sedang terbakar itu boleh diselamatkan tetapi memerlukan pembinaan semula yang cukup besar oleh penggantinya.

Tepuk dada tanya selera, jika sayangkan bola sepak negara melebihi segalanya, bertindaklah sebaiknya demi Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram