Ucap selamat tinggal, hati-hati dengarnya 'budak baik' Australia semakin hampir sertai Penang


  • Podium
  • Khamis, 29 Ogos 2024

Wenzel-Halls memenangi gelaran 'treble' bersama Central Coast Mariners pada musim 2023/2024.

KELAB Liga Super, Penang FC dijangka semakin hampir mendapatkan pemain import baharu daripada Australia iaitu Dylan Wenzel-Halls.

Beraksi bersama Central Coast Mariners, pemenang Piala AFC musim 2023/2024 itu dilaporkan akan menjadi bintang import baharu Harimau Kumbang di bahagian serangan.

Dia yang turut meraih gelaran treble bersama Mariners pada musim lalu sudah mengucapkan selamat tinggal kepada kelab tersebut menerusi media sosialnya.

BACA LAGI: Atasi ketumpulan serangan, Harimau Kumbang buru pemenang Piala AFC

BACA LAGI: Bukan lagi omong kosong, bintang dalam radar Penang sudah 'follow' orang kuat Harimau Kumbang

"Terima kasih kepada semua yang menyokong selama dua musim ini, kami mencipta pelbagai detik menakjubkan sepanjang perjalanan ini.

"Saya bersyukur saya dapat melalui pengalaman seperti memenangi Piala AFC di samping rakan-rakan sepasukan saya yang baik. Musi memenangi treble adalah detik terbaik karier saya dan saya akan kenang sampai bila-bila. Ayuh ke cabaran seterusnya," kata Wenzel-Halls.

Sepanjang 18 bulan bersama-sama kelab itu, Wenzel-Halls melakukan 12 penampilan sambil menghasilkan tiga gol.

Walaupun minitnya terhad, tetapi Wenzel-Halls berjaya meraih empat kejuaraan bersama-sama Mariners.

Menurut jurulatih Mariners, Mark Jackson, Wenzel-Halls dianggap sebagai "contoh teladan" dalam kalangan skuad kelab itu. Walaupun minit permainannya terhad, tetapi Wenzel-Halls menunjukkan sikap profesional yang tinggi.

"Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Wenzel-Halls atas sumbangannya terhadap kelab. Dia menunjukkan teladan yang baik dalam segala kerja yang dilakukan terutamanya semasa menjadi sebahagian daripada skuad yang memenangi treble.

"Kami ucapkan semoga maju jaya buatnya," kata Jackson.

Berdasarkan laporan media luar negara, pemain itu sentiasa menunjukkan kesungguhan setiap kali beraksi, selain mementingkan kesempurnaan dalam bola sepak.

Pada masa sama, Wenzel-Halls juga dilaporkan menjaga stamina dengan sentiasa bermain futsal pada masa senggang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram