KEKALAHAN Selangor FC kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA nyata cukup menyakitkan terutamanya bagi pendukung Gergasi Merah yang mendambakan kejayaan.
Tewasnya mereka kepada Harimau Selatan bermakna Selangor perlu menunggu sekali lagi sebelum piala singgah ke Kelana Jaya.
Keputusan kalah 1-6 itu seolah-olah menyampaikan mesej, jurang antara Selangor dengan JDT masih lagi terlalu jauh.
BACA LAGI: Teruk ditaji pemain JDT di final Piala FA, Alex Agyarkwa beri 'hint' berehat panjang?
BACA LAGI: Stadium jadi 'kelebihan' Selangor, statistik jelas milik JDT — Ramon Marcote
Nidzam perlu 'demand' lebih tinggi daripada para pemainnya. — Selangor FC
Apa harus Gergasi Merah lakukan? Dari segi merekrut pemain terutamanya tenaga import, mereka mula menyaingi JDT.
Selain itu, fasiliti latihan juga semakin baik dengan Selangor turut tidak mempunyai rekod buruk dalam urusan pembayaran gaji.
Menurut bekas pemain Selangor, Reduan Abdullah, kekurangan yang boleh dibaiki oleh Gergasi Merah adalah Nidzam Jamil perlu lebih demand terhadap para pemainnya.
"Sebagai jurulatih, anda mesti demand daripada para pemain anda. Kalau tidak, ia (kalah kepada JDT) pasti tak akan berlaku.
"Bukanlah keras apa, tapi mesti demand. Sebab mereka ini dibayar gaji (tinggi), jadi jurulatih perlu demand. Kalau mereka tak suka, kita akan layan orang macam ini yang senang berkecil hati," kata Reduan kepada Majoriti.
Selangor dianggap sudah cukup lengkap tetapi masih boleh ditambah baik. — Selangor FC
Melihat kepada kemajuan Selangor sekarang, Reduan mengatakan yang kelab lamanya itu sudah serba-serbi lengkap dari pelbagai aspek untuk mencabar JDT.
Namun begitu, masih terdapat beberapa perkara perlu ditambah baik supaya Selangor benar-benar mampu mengurangkan jurang dengan Harimau Selatan.
"Skuad yang sedia ada sudah cukup baik sebenarnya, cuma kita masih ada kekurangan dari segi fizikal, mental dan taktikal.
"Selangor perlu lihat semula kelemahan mereka, kajian harus dilakukan oleh pakar sains sukan di kelab. Dalam bola sepak moden, kecergasan sangat penting, kalau kita tak ada kecergasan, kita nak kawal bola pun susah.
"Dari segi taktikal, Selangor cuma mampu pegang bola sampai tiga sentuhan saja. Selepas tiga sentuhan, pasti akan hilang," ujarnya.
Bagi Reduan, Selangor sudah mempunyai semua yang diperlukan untuk mencabar JDT dan mengurangkan jurang antara mereka.
Tetapi, kekuatan mental dalam kalangan pemain untuk berani berdepan pasukan pilihan harus ditingkatkan. Siapa yang perlu bertanggungjawab? Jurulatih dan barisan staf di belakang tabir untuk menyokong pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram