MENTERI Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan penarikan dirinya sebagai calon Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Terdahulu, Ahli Parlimen Setiawangsa itu mendedahkan kesediaannya untuk menjawat jawatan tersebut dengan Nik Nazmi memasang aspirasi mengubah nasib bola sepak Kuala Lumpur menjadi lebih baik.
Menerusi media sosialnya, Nik Nazmi mengumumkan penarikan dirinya selepas jawatannya dalam barisan Kabinet tidak membenarkannya untuk bertanding.
BACA LAGI: Tiada obligasi untuk DBKL salur peruntukan kepada KLFA, KL City — Zaliha Mustafa
BACA LAGI: Pihak pengurusan KL City usaha bayar gaji 2 bulan
Menurutnya, mesyuarat Kabinet bersetuju untuk tidak membenarkan mana-mana ahlinya memegang jawatan dalam persatuan sukan.
"Kabinet hari ini memutuskan untuk anggota pentadbiran tidak bertanding jawatan persatuan sukan. Justeru, saya menerima keputusan tersebut dan menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden KLFA.
"Saya akan terus komited menyokong KLFA membangunkan ekosistem bola sepak yang sihat dan menyokong kejayaan KL City FC sebagai pasukan bola sepak profesional.
"Pada masa sama, saya akan terus menaungi kelab bola sepak Setiawangsa Rangers, salah satu kelab gabungan KLFA, yang saya asaskan pada 2018," kata Nik Nazmi pada Rabu.
Dengan keputusan tersebut, ia juga akan menafikan peluang Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang turut berhasrat menjadi Presiden KLFA.
Kongres KLFA akan diadakan pada 7 September dengan pemilihan presiden baharu akan dilakukan. Buat masa sekarang, jawatan tersebut dipangku oleh Abdullah Sani Abd Hamid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram