Bukan lagi omong kosong, bintang dalam radar Penang sudah 'follow' orang kuat Harimau Kumbang


  • Podium
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Dylan Wenzel-Halls merupakan pemenang Piala AFC bersama Central Coast Mariners. — Agensi

IMPIAN Penang FC untuk membawa masuk pemain baharu di bahagian serangan semakin menemui jawapannya apabila Harimau Kumbang sedang memburu seorang penyerang dari Australia bagi menyelesaikan isu tersebut.

Pemain tersebut ialah Dylan Wenzel-Halls iaitu pemain kelab A-League, Central Coast Mariners yang pernah berdepan Terengganu FC dalam saingan Piala AFC musim lalu.

Khabar angin Wenzel-Halls akan menyarung jersi Harimau Kumbang pada jendela perpindahan kedua nanti mula meniti di bibir penyokong selepas hantaran dari pemerhati sukan tempatan, T. Avineshwaran di laman X (Twitter).

BACA LAGI: 'Perjalanan masih jauh', Akmal Rizal pesan skuad Penang kena kerja lebih kuat

BACA LAGI: Gol Neto-Rodrigo tidak cukup kuat buat Penang, gagal bawa pulang 3 mata dari bumi Kuching

"Penang dilaporkan sedang memerhatikan khidmat pemain serangan Australia iaitu Dylan Wenzel-Halls. Pemain berusia 26 tahun itu boleh beraksi sebagai penyerang dan pemain sayap," katanya.

Kebarangkalian pemain berkenaan akan menyarung jersi Harimau Kumbang semakin tinggi selepas Wenzel-Halls dikesan mengikuti Pengurus Penang, Jeffrey Chew di laman Instagram.

Wenzel-Halls dijangka boleh menyelesaikan masalah bahagian hadapan Harimau Kumbang lagi-lagi jika melihat profil pemain itu yang pernah beraksi dalam saingan Piala AFC ketika mewakili kelab A-League, Central Coast Mariners pada musim 2023.

Musim lalu, Wenzel-Halls sekadar melakukan sembilan penampilan di seluruh kejohanan bersama CCM dengan pemain itu cuma menghasilkan dua gol. Dua gol itu hadir ketika Coast Mariners berdepan wakil Filipina iaitu Stallion Laguna.

WhatsApp Image 2024-08-14 at 19.26.34

Tangkap layar Wenzel-Halls dikesan mengikuti Pengurus Penang, Jeffrey Chew di laman Instagram.

Penyerang berketinggian 1.75 meter tersebut mempunyai rekod baik dalam kariernya apabila sudah merangkul tiga gelaran liga di Australia sambil memenangi Piala AFC musim lalu.

Jika benar perjanjian antara Coast Mariners dan Penang FC sudah dicapai, Harimau Kumbang berkemungkinan mengeluarkan wang lebih untuk menerbangkan Wenzel-Halls ke Pulau Mutiara susulan kontraknya bersama majikannya sehingga Jun 2025.

Untuk rekod, skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli musim ini berdepan masalah dari segi jentera serangan apabila mereka hanya merekodkan sembilan gol selepas lapan aksi Liga Super.

Isu tersebut boleh dikatakan berpunca daripada kualiti penyerang import, Rodrigo Dias yang sekadar mencetak tiga gol daripada tujuh perlawanan Liga Super dia diturunkan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram