Malang selepas tinggalkan JDT, Solari alami nasib sama seperti Benjamin Mora


  • Podium
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Solari yang menjuarai kejuaraan 'quadruple' bersama JDT tidak dapat meneruskan momentumnya bersama Everton. — Instagram/Solari

WALAUPUN 'bersalin' jurulatih, namun Johor Darul Ta'zim (JDT) masih kekal mendominasi Liga Malaysia (Liga M) dengan kini skuad Harimau Selatan mengungguli kedudukan teratas Liga Super.

Bukan hanya berada pada tangga teratas Liga Super dengan merekodkan kemenangan tanpa kalah dalam lapan perlawanan, malah Harimau Selatan juga baru sahaja menjulang trofi pertama pada musim ini.

Skuad Harimau Selatan baru-baru ini mencatat sejarah menjadi pasukan pertama capai hatrik bagi kejuaraan Piala FA selepas mudah menewaskan Selangor FC dengan keputusan 6-1 pada Ahad.

BACA LAGI: 'Yakin 75% Pestabola Merdeka milik Harimau Malaya, ketiadaan UM beri kesan suram'

BACA LAGI: [VIDEO] Hilang Habib Haroon ke Bahrain, Kedah bakal terima khidmat bekas anak didik Nafuzi Zain

Pengendali JDT, Hector Bidalgio menjadi jurulatih terbaharu yang berjaya membawa Harimau Selatan merangkul kejuaraan hatrik Piala FA selepas mereka menjuarai trofi itu sejak 2022.

Namun, penghargaan masih perlu diberikan kepada bekas pengendali terdahulu yang memainkan peranan dalam sejarah kejayaan JDT dan antaranya pernah mecipta nama bersama Harimau Selatan ialah Esteban Solari, Benjamin Mora, serta Mario Gomez.

Antaranya adalah Mario Gomez merupakan satu-satunya jurulatih Harimau Selatan yang pernah membawa pasukan berkenaan menjuarai trofi antarabangsa iaitu Piala AFC 2015.

Selain menjulang trofi Piala AFC, pengendali kelahiran Argentina berkenaan juga berjaya membantu Harimau Selatan menjuarai Liga Super 2015, 2016 dan Piala FA 2016.

Tetapi, tidak selamanya perjalanan indah buat bekas jurulatih Harimau Selatan apabila ada di antara mereka seolah-olah tidak lagi menemui rencah terbaik dalam mengendalikan pasukan baharu.

Solari yang berjaya menjadikan skuad Harimau Selatan serba lengkap dan Mora yang memegang peranan itu selama tiga musim juga berdepan situasi itu apabila mereka berpindah selepas menikmati tempoh cukup baik bersama JDT.

Karier Mora selepas meninggalkan JDT dan menyertai kelab Mexico, Atlas FC nampaknya tidak bertahan lama apabila dipecat susulan prestasi buruk dalam saingan Liga MX Apertura.

WhatsApp Image 2024-08-28 at 13.21.28

Kini Mora sedang mengendalikan pasukan York United di liga utama Canada. — Instagram/Mora

Berdasarkan rekod, pengendali kelahiran Mexico yang menyertai pasukan itu pada 2022 telah membimbing Atlas FC dalam 41 perlawanan dan mencapai kemenangan dalam 13 perlawanan.

Bukan hanya Mora, Solari juga sepertinya mengikut nasib rakan jurulatihnya itu apabila difahamkan kini sedang mengalami kesukaran di Liga Chile bersama CD Everton selepas berada di tempat kelapan liga dengan tujuh kekalahan, seri dan kemenangan dalam 21 perlawanan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram