Ada peluang julang Pestabola Merdeka jika taktikal jurulatih menjadi, pemain serasi — Nizaruddin Yusof


  • Podium
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Kali terakhir skuad kebangsaan menjulang Pestabola Merdeka adalah pada edisi 2013.

KEMERIAHAN Pestabola Merdeka yang akan dianjurkan bermula dari 2 hingga 10 September seakan-akan kurang dirasai susulan tindakan memboikot yang dilancarkan kumpulan penyokong Ultras Malaya.

Rentetan daripada perkara itu menyaksikan orang ramai seperti kurang tertarik untuk menghadiri pertandingan yang bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, isu tersebut tidak menghalang pengendali sementara, Pau Marti Vicente daripada memanggil pemain terbaik seperti Arif Aiman Hanapi dan Safawi Rasid.

BACA LAGI: 'Yakin 75% Pestabola Merdeka milik Harimau Malaya, ketiadaan UM beri kesan suram'

BACA LAGI: Pau Marti tak cukup ubati kekecewaan ekor HM, kekal boikot Pestabola Merdeka

2341241

Harimau Malaya tewas dalam perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023 kepada Tajikistan. Facebook/FAM

Keputusan berkenaan membuktikan skuad kebangsaan cukup bersemangat dalam menebus kekecewaan apabila tewas pada perlawanan akhir kepada Tajikistan dalam edisi Pestabola Merdeka yang lalu.

Namun, pendekatan membawa pemain bintang turut diambil pada 2023 dengan dapat harapan menjuarai pertandingan berkenaan sebelum dikecewakan negara Timur Tengah itu.

Persamaan berkenaan sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peluang Harimau Malaya menjulang trofi Pestabola Merdeka, lebih-lebih lagi selepas berlakunya perubahan barisan kejurulatihan.

Kegusaran itu turut diakui bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof yang berpendapat mana-mana pasukan perlu mengambil masa setiap kali perubahan berlaku.

"Jika kita berkata mengenai pemain, saya berasakan ini adalah yang terbaik dalam liga. Tetapi, dari segi kejurulatihan pula, kita perlu memberikan tempoh tertentu bagi mereka memahami taktikal jurulatih baharu ini.

"Ini kerana mana-mana pasukan yang alami pembaharuan, saya berasakan mereka perlu mengambil masa. Cuma, saya berharap mereka sepanjang Pestabola Merdeka nanti, pemain boleh berikan yang terbaik," katanya kepada Majoriti.

nizaruddin

Nizaruddin yakin dengan kebolehan pemain kebangsaan bagi pertandingan itu. Stadium Astro

Pertukaran barisan kejurulatihan itu berlaku berikutan pemergian Kim Pan-gon daripada jawatan berkenaan dengan dia digantikan Pau Marti Vicente yang sebelum ini merupakan pembantunya.

Setakat ini, pengendali kelahiran Sepanyol itu masih belum menunjukkan kebolehannya dengan aksi pembukaan Pestabola Merdeka menentang Filipina pada 2 September nanti merupakan ujian pertamanya.

Kali terakhir Harimau Malaya menjuarai pertandingan tersebut adalah pada edisi 2013 yang menyaksikan Singapura, Thailand XI dan Myanmar mengambil bahagian sebagai peserta.

Bagaimanapun, Nizaruddin yang pernah beraksi dalam kira-kira empat edisi Pestabola Merdeka melihat terdapat kemungkinan besar pasukan negara dapat menjuarai pertandingan jemputan itu.

"Saya nampak potensi untuk menang tu ada, cuma saya harap ketika pertandingan itu nanti, jurulatih dengan pemain dapat mencapai keserasian taktikal dengan baik," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram