[VIDEO] Menggila di Hong Kong, aksi cemerlang ex import Penang FC punca bek baharu JDT sertai Liga Super?


  • Podium
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Jun-heong akan menggunakan jersi bernombor 13 bersama JDT musim ini. — JDT

PEMAIN import baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Park Jun-heong bakal bergandingan bersama Jordi Amat bagi kejohanan Juara-Juara Asia Elit (ACLE) yang bermula pada bulan depan.

Jun-heong yang menyertai JDT daripada kelab Thailand, Ratchaburi FC pastinya akan memberikan kelainan pada benteng pertahanan Harimau Selatan.

Ketinggian yang dimiliki pemain berusia 31 tahun itu bakal memberikan kelebihan buat Harimau Selatan terutamanya ketika sepakan penjuru atau pertarungan di udara.

BACA LAGI: [VIDEO] Jaring 102 gol sepanjang karier antara pro-kontra Nelson Bonilla sertai Terengganu FC

BACA LAGI: Pau Marti hubungi Faisal Halim, umum Juan Torres Garrido 'assistant' baharu Harimau Malaya

Namun siapakah Jun-heong sebelum menyertai empayar Harimau Selatan? Adakah dia seorang pemain pertahanan yang bagus buat skuad Hector Bidalgio?

Bersama Majoriti kita mengungkap perjalanan Jun-heong sebelum sah menyarung jersi bernombor 13 bersama juara sedekad Liga Super.

Permulaan karier di Eropah

Jun-heong telah mendapatkan pendidikan bola sepaknya bersama kelab gergasi Korea Selatan, Pohang Steelers sebelum mencecah usia 17 tahun lagi.

Semasa tempoh bersama Akademi Pohang Steelers, pemain Korea Selatan itu berjaya menarik minat kelab Jerman, Kickers Offenbach untuk membawanya berkelana ke Eropah pada 2007.

Setahun bersama Kickers Offenbach, kelab utama Bundesliga (divisyen utama Jerman), FSV Mainz 05 berminat mendapat khidmatnya bagi memperkuatkan skuad muda mereka.

Namun jodoh Jun-heong bersama FSV Mainz 05 hanya kekal semusim sebelum dia kembali ke negara kelahirannya pada 2009.

Debut kelab universiti sebelum ke Portugal

Pada 2012, Jun-heong meninggalkan Akademi Daegu FC untuk menyertai sebuah pasukan berstatus universiti iaitu Dong-Eui University FC dan mewakili kelab tersebut selama dua tahun.

Pada 2014, bekas graduan FSV Mainz 05 itu kembali ke Eropah apabila menyertai kelab Portugal, CD Pinhalnovense sebelum beraksi buat beberapa pasukan lain di negara itu.

Antara pasukan yang pernah diwakili Jun-Heong di Portugal ialah CF Os Armacenenses, Atletico CP, Academico dan Viseu FC.

Namun Jun-heong tidak sempat melakukan penampilan di divisyen tertinggi Portugal dan banyak menghabiskan masa dalam liga bawahan sahaja.

Bangkit cipta nama di Hong Kong

Selepas hampir setahun tidak mempunyai pasukan, kelab gergasi Korea Selatan, Suwon Bluewings mengikat Jun-heong pada 2018 sekali gus menyelamatkan karier bola sepak pemain itu.

Namun bersama Suwon, Jun-heong hanya tampil dalam dua perlawanan selama dua tahun mewakili pasukan itu.

Pada 2020, kelab Hong Kong, Kitchee FC mengikat Jun-heong dan ia merupakan keputusan tepat dibuat oleh kedua-dua pihak.

Ini kerana, Jun-heong yang tampil dalam 44 perlawanan buat Kitchee telah membantu pasukan itu menjuarai Liga Hong Kong sebanyak dua musim berturut-turut dan memenangi kejohanan domestik negara itu.

Bersama Kitchee juga, Jun-heong tampil dalam lima perlawanan kejohanan Liga-Liga Juara Asia (ACL) pada musim 2020-2021 menentang gergasi Asia seperti Cerezo Osaka (Jepun) dan Guangzhou FC (China).

Jun-heong juga pernah beraksi bersama bekas import Penang FC, Lucas Silva di Kitchee sebelum pemain Brazil tersebut berhijrah ke Liga Malaysia pada 2022.

Jadi tidak keterlaluan mengatakann antara faktor Jun-heong berminat beraksi di Liga Malaysia mungkin selepas melihat kejayaan yang dilakarkan Lucas bersama Penang sebagai peledak utama pasukan itu dengan 11 jaringan dalam 15 penampilan pada 2022.

Liga Thailand buka peluang ke Harimau Selatan

Selepas hampir dua tahun bersama Kitchee, kelab Thailand, Ratchaburi FC terus menyambar bek Korea Selatan itu bagi musim 2022-2023 Thai League 1.

Liga Thailand memberikan waktu permainan yang sangat tinggi buat Jun-heong iaitu 5,488 minit bersamaan 64 perlawanan.

Pemain berusia 31 tahun itu juga menjaringkan tiga gol selaku pertahanan tengah buat Ratchaburi sebelum menyertai JDT pada bulan ini.

Walaupun ada keraguan sama ada Jun-heong bakal memberikan kelainan buat benteng Harimau Selatan, tetapi pengalaman dimiliki bintang itu pasti ditagih Hector Bidalgio untuk membantu JDT di ACLE. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram