PADA Rabu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Pau Marti Vicente untuk ke kem latihan pusat latihan Harimau Malaya bermula 29 Ogos nanti.
Mereka dipanggil bagi memperkuatkan Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Pestabola Merdeka Edisi Ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur bermula 4 hingga 8 September 2024.
Bagaimanapun, senarai 26 pemain itu seolah-olah gagal memujuk hati penyokong tanah air dan Ultras Malaya yang masih berpendirian teguh untuk memboikot kejohanan Pestabola Meredeka.
BACA LAGI: Sabah FC, NSFC dan Pantai Timur perlu bertindak segera berebut khidmat Kalamullah
BACA LAGI: Adik keeper pinjaman Perak ikut jejak langkah, mahu bukti bakat di pentas SUKMA
Pau Marti mengumumkan skuad Harimau Malaya dalam Pestabola Merdeka 2024. — Facebook/FAM
Sebelum ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita kurang gembira apabila ramai penyokong tanah air meluahkan hasrat mereka untuk memboikot kejohanan tersebut.
Ia berikutan penyokong tidak berpuas hati dengan tindakan FAM yang melepaskan pengendali terdahulu, Kim Pan-gon.
Kesan daripada tindakan boikot itu pastinya turut terpalit kepada pengendali ketika ini, Pau Marti yang akan berdepan nasib ketiadaan penonton di gelanggang keramat Harimau Malaya nanti.
Dengan tindakan segelintir penyokong tanah air yang memboikot Pestabola Merdeka, ada peminat yang meluahkan rasa kasihan dengan Pau Marti yang baru sahaja mengambil alih Harimau Malaya sebagai jurulatih.
Menurut penyokong tersebut, mereka tidak meletakkan kesalahan di atas bahu Pau Marti malah lebih kecewa dengan pengurusan FAM itu sendiri.
Senarai 26 pemain skuad Harimau Malaya. — Facebook/FAM
"Kasihan Pau Marti, dia pula yang kena tempias, head coach lari, penyokong boikot," kata Kuma Kukuma.
"Fans tiada masalah sangat dengan coach dan barisan kejurulatihan, fans ada masalah dengan pengurusan FAM, sebab tu boikot, teruskan boikot selagi tiada rombakan dalaman pengurusan FAM," kata Mat Aiman.
"Fans okay saja dengan Pau Marti cuma fans meluat dengan FAM, buat bola sepak macam hak sendiri, ikut suka sendiri saja dengan kes serangan ke atas pemain yang tak settle lagi," kata Parin Aidil.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu separuh akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, pukul 9 malam.
Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari sama, pukul 4.30 petang.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di final pada Ahad, 8 September 2024, pukul 9 malam, manakala dua pasukan yang tewas pada separuh akhir akan bertemu untuk perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari sama, pukul 4.30 petang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram