TINGGAL seminggu lagi arena bola sepak negara akan dimeriahkan dengan kejohanan Pestabola Merdeka yang membariskan empat pasukan termasuk skuad kebangsaan dengan tiga negara jemputan.
Tahun ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjemput juara edisi lalu, Tajikistan, Lubnan dan Filipina untuk merebut trofi Pestabola Merdeka.
Berbeza dengan edisi lalu, tahun ini kemeriahan Pestabola Merdeka mungkin tidak mendapat sambutan selepas Ultras Malaya mengumumkan tidak akan memberikan sokongan sebagai tanda protes terhadap beberapa isu yang berlaku dalam FAM.
BACA LAGI: [VIDEO] Hilang Habib Haroon ke Bahrain, Kedah bakal terima khidmat bekas anak didik Nafuzi Zain
BACA LAGI: Cemerlang bersama Terengganu FC, Akhyar Rashid tanya Eyka Farhana ‘kita bila lagi?’
Menurut pemerhati bola sepak, Hanif Miswan bersetuju dengan ketiadaan Ultras Malaya akan memberikan impak kepada persembahan skuad kebangsaan kerana Harimau Malaya sudah terbiasa dengan sokongan daripada 'pemain ke-12' itu.
"Sudah tentu ia akan memberikan impak kepada prestasi Malaysia, sebab kita (skuad kebangsaan) dan terbiasa, adanya ultras, adanya sokongan, adanya sorakan 90 minit.
"Percaya atau tidak kita sebagai pemain yang berada dalam padang, walhal kita dalam stadium sebagai wartawan rasa aura tersebut.
"Pemain-pemain selepas ini akan beraksi dengan suasana yang suram, kenapa suram? Sebab mungkin ada sorakan daripada penyokong-penyokong lain.
"Cuma suasana itu akan membezakan, mungkin ini memberi suasana berbeza kepada pasukan pelawat yang datang tanpa ultras mereka akan rasa ini berbeza," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Hanif turut berasakan tiada masalah untuk Harimau Malaya menuju ke pentas final dan menewaskan Filipina di peringkat separuh akhir pada 4 September nanti.
"Bayangan awal sepatutnya perjalanan pasukan Malaysia wajib sekurang-kurangnya ke final.
"Sekarang dah 2024 jadi kita tak boleh terima apa-apa alasan untuk tewas apatah lagi bertemu dengan Filipina, bukan untuk menidakkan reputasi pasukan lawan tapi Harimau Malaya sekurang-kurangnya ke final.
"Daripada ranking pun kita dah tahu tiada masalah untuk berdepan Filipina, mereka juga rakan 'sparring' yang bagus untuk Harimau Malaya.
"Cuma menjadi persoalan, bagaimana Pau Marti nak 'fully utilize' pemain-pemain kebangsaan sebab selama ini kita dah biasa sangat dengan Kim Pan-gon.
"Sekarang ini adalah zaman Pau Marti dan Filipina lawan yang bagus untuk bermula," jelasnya.
Tambahnya lagi, dia berminat untuk melihat pemain-pemain baharu dalam skuad kebangsaan dan meletakkan keyakinan tinggi untuk melihat Harimau Malaya merampas semula trofi Pestabola Merdeka dari tangan Tajikistan.
"Saya lebih suka melihat kepada pemain-pemain baharu yang dipanggil seperti Adib Ra'op yang kita tahu sudah menjaringkan gol sebelum ini.
"Feroz Baharudin yang mana aksi konsistennya dalam JDT, kita nak tengok dia menjadi tunjang belakang pasukan.
"Cuma harap dia (Feroz) dah dapat call-up ini dengan Afiq Fazail semua dapat diturunkan secara konsisten.
"Tolong juga beri minit permainan kepada Zhafri Yahya, ini antara pemain-pemain yang sepatutnya menjadi 'next generation of Harimau Malaya'.
"Yakin 75 peratus sebab Tajikistan bukanlah lawan yang mudah, Tajikistan kita tahu mereka juga ada pemain-pemain yang berkualiti apatah kali ini datang sekali lagi untuk mempertahankan kejuaraan sebelum.
"Kita yakin, cumanya yang penting bagi saya masuk final dulu sebab bila dah masuk final itu aura boleh meresap dan apatah lagi bulan kebangsaan punya semangat ini," ujarnya.
Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu separuh akhir menentang Filipina pada 4 September, pukul 9 malam.
Satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari sama, pukul 4.30 petang.
Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di final pada 8 September, pukul 9 malam manakala dua pasukan yang tewas pada separuh akhir akan bertemu untuk perlawanan penentuan tempat ketiga pada hari sama, pukul 4.30 petang.
Pestabola Merdeka 2024 merupakan antara persiapan awal skuad Harimau Malaya sebelum saingan kejohanan Piala Mitsubishi Electric 2024 bermula hujung tahun ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram