Selain rekod Mokhtar Dahari, ini 3 lagi trivia menarik Pestabola Merdeka


  • Podium
  • Khamis, 12 Okt 2023

Sebahagian aksi ketika sesi latihan skuad Harimau Malaya menjelang Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM

PESTABOLA Merdeka merupakan sebuah kejohanan bola sepak tahunan yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

Untuk rekod, Malaysia menjulang trofi kemenangan sebanyak 10 kali sejak 1958, muncul naib juara tujuh kali dan berkongsi juara dua kali dengan Korea Selatan (1960 dan 1979).

Sebelum ini, skuad kebangsaan akan berdepan pasukan di ranking ke-99 dunia, India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka 2023, 13 Oktober ini manakala Palestin menentang Tajikistan pada hari yang sama.

Bagaimanapun, susulan konflik yang berlaku antara Palestin dan Israel baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan pasukan Timur Tengah itu terpaksa menarik diri daripada saingan Pestabola Merdeka.

ezgif.com-webp-to-jpg (43)

Juara Pestabola Merdeka 1958. — Agensi

Dalam pada itu, Malaysia kekal akan bertemu India pada Jumaat, 13 Oktober 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil manakala Tajikistan kini mendapat 'bye' dan akan terus layak ke Final pada Selasa, 17 Oktober 2023 (9.00 malam) untuk bertemu pemenang perlawanan Malaysia dan India.

Oleh itu, berikut merupakan trivia sepanjang perlawanan Pestabola Merdeka berlangsung.

1. Aksi paling banyak jaringan

Perlawanan yang berhasil merekodkan jaringan terbanyak ialah pada 1985 yang merupakan edisi ke-29.

Pertandingan tahunan ketika itu yang dianjurkan oleh Malaysia bermula pada 24 Julai hingga 03 Ogos 1985 dengan lapan pasukan yang mengambil bahagian.

Perlawanan tersebut merupakan peringkat final yang mana kedua-dua pasukan iaitu Korea Selatan dan Amerika-RJ berjaya menghasilkan jaringan sebanyak 11 gol.

Bagaimanapun, skor keputusan berpihak kepada Korea Selatan yang berjaya menjuarai kejohanan pada tahun tersebut dengan meraih tujuh jaringan berbanding pasukan Amerika RJ yang hanya mampu menjaringkan empat gol.

2. Pemenang paling kerap selain Malaysia

Seperti yang diketahui, Malaysia merupakan juara terbanyak iaitu sebanyak 10 kali sepanjang saingan Pestabola Merdeka ini dianjurkan sejak 1957.

Wajarlah bagi Malaysia untuk menjadi pemenang terbanyak kerana merupakan tuan rumah dalam semua saingan yang dimainkan.

Namun, Korea Selatan tidak kurang hebatnya kerana pasukan tersebut menduduki tempat kedua terbanyak memenangi kejohanan ini iaitu sembilan kali.

3. Pemain luar negara terkenal dalam Pestabola Merdeka

Kejohanan ini telah menampilkan ramai pemain terkenal untuk bersaing bagi memenangi trofi tersebut antaranya pemain dari negara India iaitu P.K Banerjee dan Chuni Gosmawi.

Selain itu, pemain profesional seperti Kim Jae-han, Cha Bum-kun dan Lee Won-jae turut hadir memberikan kehangatan dan membantu pasukan Korea Selatan untuk memenangi kejohanan tersebut.

Tidak ketinggalan juga pemain berbakat dari negara Jepun seperti Kunishige Kamamoto dan Yasuhiko Okudera turut memberikan saingan yang sengit dalam merebut kejuaraan Piala Pestabola Merdeka.

4. Tiga penjaring terbanyak

Selain itu, bagi penjaring terbanyak sudah pasti disandang oleh pasukan kebangsaan iaitu pemain legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dengan 36 jaringan yang membuatkan beliau gah berada di ranking pertama.

Tempat kedua pula disandang oleh penyerang pasukan Jepun iaitu Kunishige Kamamato yang menjaringkan 22 gol peribadi.

Untuk pemain yang berjaya meletakkan nama dalam senarai tempat ketiga pula disandang oleh Abdul Kadir dari negara jiran iaitu Indonesia dengan 22 jaringan sama seperti jaringan veteran negara Matahari Terbit itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram