NUKILAN 'Laptop Cabuk' kali ini mengabadikan kenangan kepada legenda bola sepak tanah air dan antara pemain terbaik Asia, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, yang pulang ke Rahmatullah pada usia 37 tahun pada 11 Julai 1991 selepas disahkan menghidap penyakit motor neuron. Hari ini genap 32 tahun pemergian Allahyarham, yang terus menjadi rangsangan buat generasi pemain bola sepak hari ini.
“SHAM, boleh tak tolong tulis buku untuk aku?,” sapa Allahyarham Mokhtar Dahari pada suatu petang selepas latihan kelab Kwong Yik Bank di ibu negara pada 1987. “Bukan nak tulis sanjung aku tapi nak berkongsi cerita untuk pemain generasi akan datang.”
Mokhtar waktu itu baru bersara selepas mengetuai Selangor menundukkan Johor 6-1 dalam final Piala Malaysia musim sebelumnya di Stadium Merdeka.
Tanpa berfikir panjang, saya yang ketika itu penulis bola sepak akhbar Berita Harian, terus bersetuju. Bagaimana saya akan meluangkan masa untuk itu, apakah majikan saya akan membenarkan atau butir-butir lain, saya anggap hanya perkara remeh.
Legenda bola sepak tanah air, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.
Peluang menulis biografi Supermokh – seperti mana dia digelar pada waktu itu – adalah satu penghormatan. Pada saya, tidak kisahlah kerja keras yang diperlukan, apatah lagi soalan-soalan provokasi untuk memancing cerita-cerita terbaik daripadanya.
“Tar, boleh tak luangkan seminggu? Kita nak ke Bukit Fraser (Kumpulan NSTP ada sebuah banglo lama di sana) untuk aku rakam perbualan dengan kau mengenai apa saja yang nak diceritakan dalam buku itu.” Mokhtar bersetuju dengan bercadang mengambil cuti.
Takdir, bagaimanapun, menetapkan sebaliknya.
Saya ingat dengan jelas betapa bersemangatnya Mokhtar dengan projek biografinya waktu itu. Dia menunjukkan himpunan keratan akhbar miliknya dalam beberapa ‘scrapbook’ sejak zamannya sebagai pemain Piala Burnley Selangor pada 1971.
“Lihat keratan ini,” katanya menunjukkan satu keratan kecil daripada majalah “Shoot” yang tertulis: “A guy named Hero Dahari scored the equaliser in a 1-1 draw with England B”. Ia hanya sebahagian kecil kolum penyerang England B, Gordon Hill, yang turut serta dalam Jelajah Timur Jauh mereka.
Allahyarham Mokhtar Dahari, menerima pengiktirafan antarabangsa daripada Fifa sebagai salah seorang penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Dalam perlawanan persahabatan di Stadium Merdeka pada 30 Mei 1978 itu, pelawat yang antara lain membariskan Joe Corrigan, Viv Anderson, Alan Kennedy, Paul Mariner dan Hill, mendahului dengan jaringan Kennedy.
Satu larian Mokhtar berhampiran garis tepi padang yang disusuli rembatan jauhnya, bagaimanapun, dapat menewaskan Corrigan di pintu gol untuk mengikat kedudukan.
Malah, daripada semua keratan akhbar himpunannya, Mokhtar menganggap keratan kecil itu – tidak lebih daripada empat perenggan – sebagai yang paling bernilai buatnya.
Berbulan-bulan berselang tanpa banyak kemajuan dalam projek biografinya itu, dengan cadangan untuk ke Bukit Fraser juga tertangguh.
Suatu hari, saya tergerak hati untuk bertanyakannya soalan-soalan panas yang boleh menjadi tarikan dalam kandungan biografi itu kelak.
Mokhtar, seperti yang tidak diketahui ramai, adalah seorang yang lokek dengan kata-kata, terlalu cermat dalam menuturkannya dan lazimnya memberi jawapan ringkas – dengan membiarkan aksinya di tengah padang bercakap bagi pihaknya.
Malah, bahasa tubuhnya juga kerap mengelirukan. Ada kalanya dia mendatangi saya umpama seorang kawan yang telah lama hilang dengan pelukannya dan ada ketika perawakannya sangat dingin tanpa sebarang sapaan.
Allahyarham Mokhtar Dahari merupakan pemenang kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 10 kali ketika bersama Selangor.
Selepas mengikuti rapat perkembangannya dari awal 80-an lagi, saya terima hakikat itulah sebenarnya “aura Supermokh” – dia hampir serupa dengan kebanyakan rakan sepasukannya tapi sangat berbeza pada waktu yang sama.
“Tar, boleh jawab dua soalan panas?,” soal saya pada suatu petang, berkisar kepada antara kandungan biografinya yang dirasakan penting buat peminat-peminatnya? Mokhtar, seperti diduga, membenarkan.
“Soalan pertama, ada banyak cakap-cakap yang kau pakai susuk untuk mendapatkan kekuatan. Kedua, ada penyokong Selangor yang tuduh kau ‘kelong’ (menjual permainan untuk habuan kewangan).”
Pada hari-hari biasa, Mokhtar akan mengherdik tapi ketika itu mengerutkan dahinya, kelihatan amat serius dan merenung tepat ke muka saya, disusuli derai ketawanya.
“Aku tau kau mesti nak tanya soalan-soalan ini. Tapi aku hairan yang kau pun percaya semua benda ni.
“Baiklah... Pertama kali aku dengar pasal ni daripada kawan-kawan, aku tergelak. Aku fikir bodohnya mereka yang percaya.
“Orang kata aku pakai susuk, itu tak betul. Aku berlatih berjam-jam semasa dan selepas latihan untuk bina otot-otot ini. Semua ini hasil kerja keras dalam latihan selama bertahun-tahun, tak ada jalan singkat.
“Kalaulah susuk boleh bagi aku semua ini, buat apa aku teruk-teruk berlatih? Dan kalaulah susuk ini berkesan, kenapa pemain-pemain lain tak guna cara sama?
“Aku dah bermain untuk negeri dan negara lebih 10 tahun. Kalaulah betul aku pakai susuk, jarum dia dah terbenam di seluruh kedua-dua kaki sampai aku rasa sakit tak boleh nak bergerak,” jelasnya.
Kesakitan adalah sesuatu yang terpaksa dideritai Mokhtar gara-gara latihan keras, larian kencang dan sepakan derasnya di dalam permainan, yang sudah banyak menghasilkan gol-gol menakjubkan yang didambakan peminatnya.
Allahyarham Mokhtar Dahari diberi gelaran Supermokh.
Allahyarham telah menjalani dua pembedahan lutut secara berasingan akibat koyakan meniskus – yang pertama pada Disember 1976 – untuk membolehkannya terus bermain daripada terpaksa mengundurkan diri lebih awal daripada yang diinginkannya.
“Setiap hari apabila pulang daripada latihan, aku terpaksa rendam kedua-dua lutut aku dalam dua besen besar air panas yang dicampurkan garam kasar untuk hilangkan rasa ngilu dan tak selesa.
“Peminat tak tahu semua ini, itu yang mereka percaya aku guna susuk, padahal semua ini syirik,” katanya.
Jawapannya itu membawa kepada soalan kedua sama ada dia pernah “kelong” agar pasukannya kalah mengikut percaturan sindiket pertaruhan yang galak beroperasi pada zamannya bermain.
“Aku ada ambil duit sekali, itu pun untuk menang, untuk kalah tak pernah,” katanya. “Aku disogok RM2,000 untuk satu gol dan aku score dua (lawan Singapura). Tawaran itu pun dari seorang ‘peminat besar’, bukannya bookie.
“Penyokong membayar (tiket) RM10 untuk menonton perlawanan di stadium, jadi mereka boleh kata apa saja, termasuk tuduh ada pemain kelong, bila mereka tak puas hati.
“Kalaulah peminat tahu, sebenarnya tak mudah untuk score dalam setiap game setiap minggu.
“Bagi seorang penyerang dalam kotak penalti lawan, ruang yang ada untuk score tak lebih besar daripada pintu jamban!”
Dengan selesainya temu bual singkat itu, semakin jelaslah arah biografinya itu, yang dicadangkan sarat dengan sumbangan besarnya membantu Selangor menjulang Piala Malaysia 10 kali dalam 14 tahun di samping kejaguhannya bersama skuad kebangsaan, termasuk ketika memenangi pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974.
Cuma, sayang sekali projek biografinya cuma tinggal impian apabila dia disahkan menghidap penyakit jarang jumpa, motor neuron, yang membawa kepada pengakhiran hayatnya pada 11 Julai 1991.
Kepada Allahyarham Mokhtar, saya terhutang seminggu dalam kedinginan Bukit Fraser yang tidak pun berlaku dan sebuah biografi yang tidak pun sempat menjengah halaman pertamanya.
Tapi, kenangan terhadap Supermokh terus mekar dalam ingatan. Al-Fatihah (dibacakan). — Majoriti
Artikel asal ini bertajuk “Supermokh: The Untold Story” tersiar dalam buku “My Sports Flame”.
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram