Patah tumbuh hilang berganti, ramai masih tertunggu-tunggu pewaris legasi Nurul Huda Abdullah


  • Podium
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Nurul Huda menyumbang 27 pingat buat Malaysia di tiga temasya Sukan SEA. — Agensi

SEJAK dari dulu, arena sukan negara sering melahirkan pelbagai juara dari macam-macam jenis sukan.

Sebut saja apa saja sukan sama ada badminton, olahraga atau pun berbasikal, Malaysia pasti ada legenda yang pernah mengharumkan nama negara.

Ia termasuklah dalam sukan renang. Satu masa dahulu, kolam renang di sekitar Asia Tenggara pernah digegarkan dengan kuak deras seorang atlet bernama Nurul Huda Abdullah.

BACA LAGI: Paris 2024: Wakil menembak, renang Malaysia berputih mata terpaksa pulang awal

BACA LAGI: Dua 'rising star' tak cukup, ada mesej jelas buat KBS, MOM jangan tunggu sampai Olimpik LA 2028

Apa yang ditandingi, dia juarai semua

Dilahirkan pada 1972, Nurul Huda merupakan seorang legenda sukan negara serta ratu renang sehingga kini.

Mula menceburi sukan renang sejak berusia empat tahun, Nurul Huda menjadikan Kelab Golf Diraja Selangor, Kuala Lumpur tempat mengasah bakatnya sebelum menggegar dunia.

Sejak dari usia 10 tahun, Nurul Huda sudah mula memperkenalkan bakatnya di peringkat antarabangsa. Petanda awal itu menjadi alamat yang dia sememangnya ditakdirkan untuk menggoncang dunia.

Ia terbukti apabila Nurul Huda mula mewakili negara di peringkat senior pada usia sangat muda. Pada usia 13 tahun, Nurul Huda sudah mewakili Malaysia di Sukan SEA 1985 di Bangkok, Thailand.

Screenshot-2019-02-27-at-9.25.02-AM

Nurul Huda ketika aksinya di kolam renang. — Agensi

Sewaktu di Bangkok, Nurul Huda berkata, "sasaran saya adalah ingin meraih lapan pingat."

Tapi sejarah tercipta buat arena renang negara apabila Nurul Huda yang menyertai sembilan acara, membawa pulang pingat daripada semua kategori dipertandingkan.

Nurul Huda menyumbangkan tujuh emas, satu perak dan satu gangsa dalam acara renang yang disertainya sambil memecahkan enam rekod Sukan SEA ketika itu.

Rekod cemerlang itu terus dibawa di Sukan SEA 1987 di Jakarta, Indonesia dengan Nurul Huda meraih pingat daripada lapan acara disertainya.

243452664_240796244728649_2356271324344159910_n

Nurul Huda memperoleh pingat dalam semua acara disertainya dalam Sukan SEA 1985, 1987 dan 1989. — Agensi

Dia membawa tujuh emas dan satu perak sebelum melakukan rekod hampir serupa dua tahun kemudian sewaktu Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA.

Pada 1989 di Kuala Lumpur, Nurul Huda membawa pulang lapan emas dan dua perak daripada 10 acara disertainya.

Pertama buat negara

Puncak terus ditawan olehnya ketika menyertai Sukan Asia 1986 di Seoul, Korea Selatan dengan Nurul Huda menjadi atlet renang pertama negara memenangi pingat semasa temasya berprestij itu.

Nurul Huda melakukannya dengan penuh hebat apabila dia membawa pulang dua perak serta dua gangsa dari bumi Seoul.

Pada 1987, rekod cemerlang ditampilkan oleh Nurul Huda itu membuatkan dia dianugerahkan Trofi Sukan dan Belajar oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas pencapaian hebat pada usia muda. Untuk rekod, Nurul Huda merupakan atlet negara pertama meraih trofi itu.

f67c2335572706d2ff29bb8af6f7a511

Nurul Huda merupakan perintis kecemerlangan sukan renang negara. — Agensi

Rekod sama dilakukannya apabila menyertai Kejohanan Renang Asia di Guangzhou, China pada 1988. Di kejohanan tersebut, Nurul Huda meraih dua perak dan satu gangsa dalam tiga acara disertainya.

Sama seperti di Seoul, Nurul Huda merupakan wakil negara pertama meraih pingat dalam kejohanan di Guanzhou.

Selain itu, Nurul Huda juga pernah mewakili negara di Sukan Olimpik 1988 di Seoul dalam tiga acara. Namun, tiada rezekinya untuk mara sehingga peringat akhir.

Legasi tiada penyambung

Nurul Huda meninggalkan legasi yang cukup besar dalam arena renang khususnya dan sukan negara khasnya. Hingga kini, dia kekal sebagai penyumbang pingat individu terbanyak negara dengan 27 pingat.

Malah, legasi yang dibawa oleh penerima gelaran Ahli Mangku Negara (AMN) itu sehingga sekarang masih tiada pengganti walaupun sudah 34 tahun Nurul Huda mewakili negara dalam acara kompetitif (Sukan Asia 1990 di Beijing, China).

nurul-huda-abdullah-3d997906-63da-4c47-8c97-f92754aa70a-resize-750

Legasi Nurul Huda masih tiada pewarisnya hingga kini. — Agensi

Ia menimbulkan persoalan, akan adakah pewaris kepada legasi gemilang Nurul Huda? Atau ia akan dibiarkan usang hingga tinggal kenangan?

Di Sukan Olimpik 2024 dekat Paris, Perancis, kita mempunyai wakil iaitu Tan Rouxin. Walaupun tidak berjaya mara ke peringkat akhir, tetapi atlet berusia 18 tahun itu sudah merasai tekanan tinggi beraksi di temasya terbesar dunia tersebut.

Namun itu masih belum cukup, dikala negara masih mencari srikadi renang seterusnya, pembentukan bakat seharusnya ditingkatkan lagi oleh mereka yang bertanggungjawab.

Legasi ditinggalkan Nurul Huda terlalu hebat untuk tidak disambung. Oleh itu, ia perlu diteruskan demi kecemerlangan sukan negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram