SAINGAN Liga Super berehat selama hampir sebulan untuk memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan Selangor FC pada 24 Ogos.
Usai tamat perlawanan akhir, tumpuan akan terarah kepada persiapan skuad kebangsaan untuk saingan Pestabola Merdeka yang diadakan pada 4 hingga 8 September.
Melihat kepada situasi tersebut, nyata tidak ideal buat penyokong kerana mereka terpaksa menunggu lama sebelum aksi Liga Super seterusnya diadakan.
BACA LAGI: Final Piala FA: Legenda harap kedua-dua fans berbaik, tak perlu sambung lawan luar padang
BACA LAGI: 'Tak guna VAR, Pestabola Merdeka kena lebih profesional, jaga reputasi'
Adakah situasi tersebut sebenarnya ideal untuk kelab-kelab bertanding? Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Dr Zulakbal Karim, sudah pasti kelab-kelab sudah mengetahui perjalanan musim domestik lebih awal.
Oleh itu, mereka sudah boleh merancang apa yang perlu dilakukan apabila tiada perlawanan kompetitif seperti Liga Super.
"Apabila sudah tahu (perjalanan jadual), sudah pasti mereka ada perancangan yang terperinci untuk memastikan latihan berjalan lancar. Walaupun perlawanan liga tidak berjalan, mereka boleh buat perlawanan simulasi dalam tempoh sebulan liga tidak berlangsung.
"Tujuannya untuk mengekalkan momentum dan selain dari memastikan kecergasan berada di tahap yang terbaik. Itu saya fikir perkara biasa yang diamalkan oleh semua jurulatih di mana-mana pun," kata Zulakbal kepada Majoriti.
Keputusan MFL merehatkan liga untuk tempoh lama mengundang rasa kurang senang penyokong. — Penang Football Club
Bagi Zulakbal, walaupun liga tidak berjalan tetapi para pemain tahu untuk memastikan mereka berada pada tahap terbaik dalam urusan menjaga kecergasan mereka.
Melihat kebiasaan untuk Liga Super berehat panjang dalam satu-satu tempoh, timbul persoalan adakah ia akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan penaja.
Hal ini disebabkan rehat panjang, penaja berkemungkinan tidak mendapat pulangan pelaburan (return of investment) mereka dalam bola sepak.
"Kalau saya pelabur atau penaja, saya pun risau juga kalau tak ada perlawanan empat kali dalam sebulan atau lebih, kemungkinan untuk saya memasarkan barangan, produk saya ke masyarakat yang menonton sudah hilang dalam jangka masa sebulan.
"Jadi mungkin itu ada menyebabkan faktor-faktor ramai peniaga di luar berfikir banyak kali. Namun saya percaya pastinya mereka ada pelan untuk mengatasi masalah sebulan tak ada perlawanan ni dengan aktiviti-aktiviti pemasaran, publisiti yang lain.
"Jadi saya tak tahu sama ada penaja lari atau tak mahu menaja oleh kerana cuti sebulan tapi saya percaya dia akan ada tanda soal dalam fikiran mereka.
"Jadi saya fikir sebelum satu-satu peniaga menaja pasukan bola sepak, dia sudah dapat mengenal pasti keadaan ini dengan menelaah atau meneliti jadual sepanjang musim," ujar Zulakbal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram