MISI Malaysia untuk meraih pingat emas di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis tertangguh sekali lagi apabila kontinjen negara tidak berjaya membawanya pulang dan sekadar meraih dua gangsa.
Ia membuatkan penantian negara berterusan untuk empat tahun lagi dengan fokus perlu terarah kepada Sukan Olimpik 2028 (LA 2028) di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Di sebalik kecewa, kita ditunjukkan dengan kemunculan bintang dalam pembikinan atau rising stars yang dilihat sebagai prospek masa depan negara dalam meraih pingat emas di LA 2028.
BACA LAGI: Sokong Amirul letak jawatan, ramai lagi yang layak — Hafifi Mansor
Munculnya potensi baharu
Dalam pada kita berduka kerana terlepas lagi pingat emas, harapan baharu mula muncul apabila atlet muda negara kita yang pertama kali ke Sukan Olimpik mula mencuri tumpuan.
Nama-nama seperti Aniq Kasdan (angkat berat) dan Bretrand Rhodict (terjun) antara yang mencuri tumpuan walaupun mereka tidak membawa pulang pingat.
Persembahan Aniq paling diingati kerana dia begitu hampir membawa pulang gangsa tetapi kekurangan 1 kilogram dalam angkatannya menafikan detik gemilang itu.
Aniq hampir memperoleh gangsa di Paris 2024. — MOM
Selain Aniq dan Bertrand, satu lagi nama iaitu Izzah Izzati Asri juga perlu diberikan perhatian selepas melakukan penampilan pertama di Sukan Olimpik pada usia 20 dalam acara berbasikal trek.
Ia menunjukkan negara kita masih ada bintang yang berpotensi untuk digilap menjadi juara. Tapi adakah ia mencukupi?
Mesej untuk KBS, MOM
Kemunculan bintang dalam pembikinan itu memberikan mesej jelas yang sukan negara sedang beralih dari satu era kepada era lain.
Simbolik penyerahan 'baton' oleh Datuk Azizulhasni Awang kepada Shah Firdaus Sahrom untuk mengetuai cabaran negara dalam acara berbasikal trek di LA 2028 memberikan petanda bermulanya era baharu dan pihak berkaitan perlu melakukan perkara sama.
Pihak seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah perlu memulakan gerak kerja untuk memburu emas di LA 2028. Tidak perlu menanti setahun sebelum temasya, ia perlu dimulakan segara.
Mungkin ketika ini, bakat muda yang kelihatan hanyalah Aniq, Bertrand dan Izzah. Tetapi jika kerja dimulakan dengan segara, kita mungkin tidak menjumpai bakat lain yang boleh dibawa lebih ramai ke LA 2028 sekali gus membesarkan potensi Malaysia meraih pingat emas.
KBS dan MOM tidak boleh leka lagi, apa yang terjadi di Paris pastinya sukar untuk ditelan kerana kita terlepas emas lagi. Oleh itu, untuk memastikan episod sama tidak berulang, biarlah kerja dimulakan sekarang walaupun temasya seterusnya adalah pada empat tahun lagi.
Izzah (kiri) juga merupakan prospek pingat Malaysia di masa akan datang.
Terima kasih atas jasa
Kemunculan bintang baharu juga memberi makna yang era jaguh sedia ada sudah menghampiri penghujungnya. Kini tiba masa untuk tenaga muda pula mencipta nama dan sejarah buat negara.
Rezeki masih belum ada unutk Malaysia meraih pingat emas, tetapi janganlah kita menidakkan setiap usaha dan keringat yang diberikan oleh para atlet baik yang membawa pulang pingat atau tidak.
Tiada siapa yang mahu ke gelanggang dan tewas, terutamanya ketika di peringkat tertinggi seperti Sukan Olimpik. Oleh itu, janganlah meragui setiap usaha mereka yang berjuang demi negara.
Terima kasih buat semua atlet Malaysia yang berjuang di Sukan Olimpik 2024. Semoga di LA 2028, rezeki kita akan lebih melimpah di bumi Amerika Syarikat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram