Akta 854 berkuat kuasa Isnin, tingkat keselamatan siber negara


  • Primer
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, tarikh pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 itu telah ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan siber.

AKTA Keselamatan Siber 2024 atau Akta 854 yang digubal bagi meningkatkan keselamatan siber negara berkuat kuasa mulai hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, tarikh pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 itu telah ditetapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku menteri yang bertanggungjawab bagi keselamatan siber.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, Akta 854 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 Jun lalu dan disiarkan dalam warta pada 26 Jun lalu.

BACA LAGI: Bekalan insulin cukup hingga akhir tahun, KKM cari alternatif elak jejas pesakit — Dr Dzulkefly

BACA LAGI: [VIDEO] Pemilik berputih mata, motosikal lesap ketika berhenti solat subuh di Batu Caves

Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim. —AZHAR MAHFOF/The Star

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pejabat Perdana Menteri memberitahu, Akta Keselamatan Siber 2024 itu digubal bagi meningkatkan keselamatan siber negara dengan mengadakan peruntukan bagi penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).

Pada masa sama, akta tersebut digubal untuk mengadakan peruntukan kewajipan dan kuasa Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA); Fungsi dan kewajipan ketua sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) serta entiti NCII.

“Akta itu juga memasukan peruntukan pengurusan ancaman keselamatan siber dan insiden keselamatan siber terhadap NCII serta mengawal selia pemberi perkhidmatan keselamatan siber melalui pelesenan dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan.

“Perdana Menteri juga telah menetapkan hari ini (Isnin) sebagai tarikh kuat kuasa bagi peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 845,” katanya dalam kenyataan itu.

Peraturan-peratuan tersebut adalah Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Tempoh bagi Penilaian Risiko Keselamatan Siber dan Audit) 2024; dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024;.

Turut berkuat kuasa Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024 dan Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024 .

“Peraturan-Peraturan di atas telah disiarkan dalam Warta pada 22 Ogos 2024," tulisnya.

Siberrr

Akta Keselamatan Siber 2024 atau Akta 854 yang digubal bagi meningkatkan keselamatan siber negara.

Menurut kenyataan itu di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Tempoh bagi Penilaian Risiko Keselamatan Siber dan Audit) 2024, suatu entiti NCII yang memiliki atau mengendalikan suatu NCII, hendaklah membuat penilaian risiko keselamatan siber sekurang-kurangnya sekali setahun.

Entiti berkenaan juga perlu menjalankan audit sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh dua tahun atau pada kekerapan yang lebih tinggi sebagaimana yang boleh diarahkan oleh Ketua Eksekutif dalam mana-mana hal tertentu.

Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber) 2024 pula menetapkan supaya orang yang diberi kuasa bagi entiti NCII hendaklah memberitahu dengan segera melalui cara elektronik mengenai suatu insiden keselamatan siber yang telah berlaku, atau mungkin telah berlaku.

Kemudian orang yang diberi kuasa hendaklah mengemukakan butiran awal dalam masa enam jam daripada insiden keselamatan siber itu diketahui oleh entiti NCII melalui “Sistem Pusat Penyelarasan dan Kawalan Siber Negara” (NC4 System).

Selanjutnya orang yang diberi kuasa bagi entiti NCII itu perlu mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh 14 hari melalui “NC4 System”. Butiran awal dan maklumat tambahan yang perlu dikemukakan adalah seperti yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pemberitahuan Insiden Keselamatan Siber).

Sementara itu, Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pelesenan Pemberi Perkhidmatan Keselamatan Siber) 2024 adalah terpakai bagi individu dan syarikat yang memberi perkhidmatan keselamatan siber yang berhubungan dengan perkhidmatan pemantauan pusat operasi keselamatan terurus dan perkhidmatan pengujian penembusan (Penetration Testing Service).

Peraturan-Peraturan Keselamatan Siber (Pengkompaunan Kesalahan) 2024 pula memperuntukkan berhubung kesalahan-kesalahan yang boleh dikompaun melibatkan subseksyen 20(6), 20(7), 22(7), 22(8), 24(4) dan 32(3). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram