'Cukup lama bersama, Nafuzi sepatutnya sudah bersedia kehilangan Habib Haroon'


  • Podium
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Nafuzi (kiri) pasti kecewa dengan berita pemergian Habib selepas hubungan yang sudah dibina akan terlerai begitu sahaja. — Facebook/KDA FC

HEBOH diperkatakan di media sosial ketika ini bahawa tonggak Kedah Darul Aman (KDA) FC, Habib Haroon sudah bersedia untuk meninggalkan pasukan itu dalam masa terdekat.

Perkara tersebut diumumkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Suhaimi yang mengatakan kelab dari Bahrain, Sitra Club bersedia menerima kehadiran pemain tengah berkenaan.

Jadi, dengan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia sudah dibuka pada Isnin, kelab Utara tanah air tersebut sudah seperti mengira saat sebelum Habib Haroon mengucapkan selamat tinggal kepada mereka.

BACA LAGI: Habib Haroon ucap selamat tinggal, bakal kembali ke Liga Bahrain

BACA LAGI: Kepak Sang Kenari tak salahkan Habib, sebaliknya Kedah yang tak pernah serik

2655127

Habib menikmati tiga musim yang cemerlang bersama skuad Sang Penyu. Facebook/Terengganu FC

Antara yang sudah tentu terkesan ialah pengendali skuad Sang Kenari, Nafuzi Zain memandangkan kedua-dua mereka sudah bersama sejak mereka berada di Terengganu FC.

Jadi, pemergian Habib pasti amat dirasai Nafuzi dengan dia terpaksa mencari pengganti yang dapat menyesuaikan diri dan memahami taktikal dengan segera.

Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Prof Zulakbal Abd Karim, pengendali skuad Sang Kenari itu perlu terbuka dengan pemergian pemain yang amat dipercayainya itu.

"Saya percaya Habib adalah pemain kepercayaan kepada Nafuzi sejak mereka berada di Terengganu. Jadi, ada kemungkinan hubungan mereka itu sudah terjalin lama dan menjadi cukup baik.

"Tetapi, sebagai jurulatih, dia pun tidak boleh mempertahankan Habib atas faktor-faktor yang mungkin kita tahu. Nafuzi nampaknya perlu melangkah ke depan untuk mencari pengganti sesuai dengan segera," katanya kepada Majoriti.

LEAD-NAFUZI-ZAIN

Nafuzi perlu mencari seorang pengganti bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Habib. Facebook/KDA FC

Kebergantungan Nafuzi terhadap Habib Haroon berpunca daripada kebolehan pemain itu untuk membaca pergerakan lawan serta mematahkan serangan yang cuba dilakukan.

Selain itu, jeneral tengah tersebut memiliki ketenangan untuk mencipta keserasian antara barisan pertahanan dan jeneral serangan dengan hantaran tepat yang boleh diciptanya.

Malah, musim ini, pemain berusia 23 tahun itu sekali lagi membuktikan kepentingannya dalam pasukan setelah merekodkan 11 penampilan buat skuad Sang Kenari dengan tujuh daripadanya dicatatkan dalam kempen Liga Super.

Ketika ditanya mengenai pengganti terbaik bagi Habib Haroon, Zulakbal tidak dapat memberikan pilihan terbaik, namun percaya seseorang bertaraf antarabangsa diperlukan KDA FC.

"Saya tidak dapat memberi kata putus mengenai pemain yang memiliki kualiti sepertinya. Tetapi, saya percaya dalam masa terdekat ini, saya fikir mereka perlu mendapatkan pemain yang berada di tahap antarabangsa.

"Ini kerana mereka perlu segera menyerap keadaan dan cepat serasi selain dapat digunakan dengan segera dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram