[VIDEO] TMJ ambil mikrofon kata ‘no comment’, Bidoglio sudah boleh ‘bersembang’ lepas dakap Piala FA diiktiraf


  • Podium
  • Ahad, 25 Ogos 2024

Tangkap layar video (gambar kiri) memaparkan komen ringkas Tunku Ismail selepas aksi final Piala FA pada Sabtu. Bidoglio (gambar kanan) meraikan kejayaan dengan bergambar bersama Piala FA.

NADA cukup berbeza ditampilkan oleh pengurusan Johor Darul Takzim selepas Harimau Selatan berjaya menundukkan Selangor FC 6-1 dalam aksi final Piala FA pada Sabtu.

Ia sama sekali berlainan dengan reaksi 'dingin' yang diberikan mereka ketika hari sebelum perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Antara yang memberikan komen ialah pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mesra dengan panggilan TMJ.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

Menerusi satu video memaparkan suasana selepas aksi final, Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor yang sedang meraikan kejayaan bersama pasukannya di venue sebelum dilihat menghampiri jurukamera dan secara berseloroh berkata, "no comment".

Ungkapan itu dipercayai merujuk kepada kontroversi ditimbulkan JDT semasa sidang media sebelum perlawanan akhir yang menyaksikan tindakan wakil JDT iaitu penolong jurulatih, Jose Lopez enggan menjawab sebarang pertanyaan.

Sementara itu, suasana berbeza juga dapat dilihat ketika siding media selepas perlawanan akhir melibatkan ketua jurulatih Harimau Selatan, Hector Bidoglio.

Ketika sidang media selepas final, Bidoglio dilaporkan menjawab semua persoalan yang diajukan dengan baik.

Ditanya mengenai kejayaan pasukannya mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sejak 2022, Bidoglio berkata, ia berjaya dicapai kerana prestasi cemerlang anak buahnya khususnya dalam mengekalkan intensity sepanjang perlawanan.

"Saya tidak tahu perbezaan antara separuh masa pertama dan kedua tetapi kami mengekalkan intensiti dalam kedua-dua babak.

"Mungkin dalam separuh masa kedua, kita tidak dapat mengawal bola tetapi kami kekal mengawal permainan.

"Banyak fasa permainan yang kami tunjukkan, pemain kekal menunjukkan semangat juang dan bermain dengan bijak kerana mereka tahu bagaimana untuk bermain di final," katanya.

Sementara itu, Bidoglio turut melahirkan penghargaan kepada semua pihak khususnya Tunku Ismail yang memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya selain memberi kredit kepada anak buahnya.

"Bos (Tunku Ismail) sentiasa ada cara memberi motivasi kepada kami. Jadi terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Pemain menunjukkan persembahan yang terbaik pada aksi final ini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram