[VIDEO] Bintang cilik dan sorakan fans tuan rumah tak cukup kuat halang Selangor genggam emas futsal SUKMA


  • Podium
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Pencapaian cukup bermakna itu pasti akan menaikkan lagi semangat kontinjen Selangor dalam baki-baki hari untuk temasya SUKMA 2024. — Instagram/SUKMA Selangor Futsal

PENANTIAN kontinjen Selangor untuk meraih sebarang pingat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) berakhir selepas mereka mengungguli acara tersebut pada Jumaat.

Kemenangan 2-0 yang direkodkan ke atas tuan rumah, Sarawak sudah cukup untuk membolehkan pasukan bimbingan Qusmaini Noor Rusli untuk meraikan kejayaan itu.

Namun, perlawanan akhir yang diadakan di Stadium Tertutup Kota Samarahan itu bukanlah sesuatu yang mudah buat Selangor apabila sorakan penyokong menyulitkan lagi pertembungan itu.

BACA LAGI: 'Bawa nama Johor patutnya setanding JDT', prestasi skuad futsal Johor di SUKMA bikin gusar

BACA LAGI: SUKMA 2024: Bintang kelab MPFL anggap tuan rumah, Pulau Pinang pencabar utama futsal Selangor

Perkara itu turut diakui kapten dan juga tonggak pasukan, Syahir Iqbal Khan yang mengakui dirinya bergelut untuk mengawal emosi dengan suasana hangat di venue perlawanan tersebut.

"Alhamdulillah, kami menang dan muncul juara. Tetapi, Sarawak ini memang gila kerana penyokong beri sokongan bagi sukan futsal. Jadi, saya harap Sarawak lebih maju dalam sukan ini," katanya.

Malah, cabaran besar turut dihadapi skuad Selangor apabila salah seorang pemain ciliknya, Mohamad Zainulariffin Mohamad Zin memberikan persembahan cemerlang sepanjang berada di dalam gelanggang.

Usianya yang baru sahaja mencecah 19 tahun bukanlah alasan baginya untuk tidak beraksi dengan baik meskipun gagal membantu Sarawak muncul pemenang pingat emas.

Selain bijak menggunakan tubuhnya untuk menghalang asakan pihak lawan, atlet berkenaan tenang melakukan hantaran yang mencipta peluang, namun gagal disempurnakan rakan sepasukannya.

Kebolehan dipamerkan itu dilihat hasil daripada pengalaman diraih dalam Divisyen 2 Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) dengan dia beraksi untuk PFA Odin Sarawak.

Malah, berdasarkan rekod musim ini, Zainulariffin sudah mencetak sembilan gol dengan pasukannya itu berada di kedudukan kelima selepas 11 perlawanan.

Bagaimanapun, persiapan dan pengalaman pemain futsal Selangor jelas sukar ditandingi berdasarkan keputusan dan persembahan ditonjolkan kesemua pemain.

Kejayaan skuad futsal meraih pingat emas menyaksikan negeri itu kini berada di kedudukan ketiga carta kutipan pingat dengan 53 emas, 64 perak dan 53 gangsa diraih mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram