[VIDEO] Cetak gol tunggal KL City, fans negara jiran label Haqimi Azim mirip penyerang 'malang' Indonesia


  • Podium
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Jaringan Haqimi membantu pasukan Lembah Klang berkenaan mengekalkan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. — Facebook/KLCity

KUALA Lumpur (KL) City FC bermula langkah kanan menewaskan Kaya FC 1-0 dalam aksi pertama Kumpulan B kempen Kejuaraan Kelab Asean (ACC) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dekat Cheras, Kuala Lumpur pada Khamis.

Perlawanan pertama bagi kejohanan yang juga dikenali sebagai Piala Shopee itu menyaksikan Miroslav Kuljanac membariskan kesebelasan terbaik dengan Paulo Josue, Haqimi Azim dan Jovan Motika mengetuai jentera serangan.

Percaturan itu nyata membuahkan hasil buat pasukan The City Boys apabila tonggak muda mereka, Haqimi bijak menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-13 dan meletakkan pasukan Lembah Klang berkenaan di hadapan.

BACA LAGI: Masih belum sah, fans JDT, Selangor dan Penang tak sabar 3 rumors perpindahan jadi kenyataan

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Borneo bersaudara, sama-sama nyanyi lagu Bekikis Bulu Betis ketika Sabah tewaskan Sarawak raih emas takraw SUKMA

Jaringan dari pemain berusia 21 tahun itu membantu pasukan Lembah Klang berkenaan mengekalkan kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan memberikan tiga mata berharga buat The City Boys.

Sumbangan pemain kebangsaan negara itu bukan hanya mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tanah air apabila penyokong negara jiran juga memuji gaya permainan Haqimi dalam membantu bahagiaran serangan Kuala Lumpur.

Menjengah di ruangan komen kejohanan berkenaan, AseanutdFC, seorang penyokong negara jiran melihat Haqimi seolah-olah jelmaan Saddam Gaffar iaitu penyerang yang pernah memeriahkan saingan Liga 1 Indonesia.

"Haqimi secara fizikalnya mirip dengan Saddam Gaffar iaitu bekas penyerang PSS Sleman tapi sayang pemain berkenaan mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL). Sejak cedera, dia belum menemui prestasi terbaiknya," katanya.

Nama Saddam secara perlahan-lahan dilupakan dalam industri bola sepak Indonesia terutama sejak pemain berkenaan berjuang dengan kecederaan ACL yang dialami sejak 2021.

Saddam yang mahu menyambung kerjaya baharu bersama PSS Sleman bagaimanapun tidak sempat membuktikan kualitinya usai kembali dari kecederaan apabila pasukan berkenaan memutuskan untuk melepaskan khidmatnya pada Julai lepas.

Kisah pemain pasukan kebangsaan Indonesia Bawah 19 tahun itu diharap tidak berlaku kepada Haqimi dan pastinya penyokong juga mahu menyaksikan penyerang muda negara terus bersinar dalam saingan domestik serta pentas antarabangsa.

Dengan perkembangan positif dari Haqimi, pasti khidmatnya akan digunakan lagi untuk perlawanan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi saingan Liga Super pada 14 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram