SALAH seorang pemain yang disambar Manchester United pada jendela perpindahan musim panas 2024 adalah bek kanan, Noussair Mazraoui dari kelab Jerman, Bayern Munich.
Perpindahan itu sedikit mengejutkan memandangkan pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hanya perlu membayar kira-kira £17.2 juta (RM99.4 juta) untuk mendapatkan khidmatnya.
Pemain antarabangsa Maghribi itu juga seperti tidak berdepan sebarang masalah untuk menyesuaikan diri kerana sudah berjaya menampilkan persembahan cemerlang ketika The Red Devils menumpaskan Fulham pada aksi pembukaan.
BACA LAGI: Bek kanan England jadi 'mangsa' Man United selepas kehadiran Mazraoui
BACA LAGI: Ten Hag mengaku tak cukup masa siapkan Man United hadapi musim baharu EPL
Mazraoui (kiri) sering membicarakan mengenai keagamaan di media sosial.
Kejayaan itu menyebabkan penyokong cukup tertarik dengan kebolehannya memandangkan Manchester United sudah lama tidak memiliki seorang bek kanan berkualiti.
Malah, dalam kalangan peminat gergasi EPL tersebut yang beragama Islam, mereka melihat Mazraoui sebagai seorang ikon kerana sering mengetengahkan agama dalam pelbagai hal.
Sebagai contoh, terdapat laporan antarabangsa menyatakan pemain berusia 26 tahun berkenaan sering menjadi imam di masjid di samping giat menghafal Al-Quran ketika ini.
Usaha itu dibuat memandangkan pada tahun lalu, pertahanan tersebut pernah memasang cita-cita untuk bergelar imam rasmi selepas menamatkan kariernya di atas padang.
Meskipun terdapat lambakan pemain Muslim di EPL ketika ini, kesungguhan Mazraoui untuk mendalami agama menjadi perhatian kerana ia membuktikan nilainya di luar padang.
Selain itu, bek Manchester United tersebut sungguh lantang dalam menyuarakan nasib penduduk Palestin yang menderita akibat penjajahan tentera rejim Zionis di negara mereka.
Mazraoui berdepan ancaman dari media Barat kerana mempertahankan penduduk Palestin.
Tindakan berkenaan sebenarnya boleh menggugat kredibilitinya sebagai seorang pemain kerana isu tersebut boleh dianggap sensitif kerana media Barat masih mengagungkan pimpinan dari negara haram Israel.
Malah, terdapat laporan sebelum ini di mana Anwar El Ghazi digantung kelabnya selepas menyuarakan pandangan peribadi berhubung nasib dialami golongan tidak bersalah di Palestin.
Namun, keberanian Mazraoui membuktikan bahawa dia tidak mahu berselindung dalam membela mereka yang tertindas meskipun kini sudah beraksi di England bersama Manchester United.
Kesemua sikap yang ditonjolkan pemain berkenaan wajar dijadikan contoh bagi mana-mana Muslim kerana Mazraoui tidak malu atau gentar untuk mempertahankan agamanya.
Pendiriannya juga boleh dijadikan teladan bintang beragama Islam di Eropah yang kadang-kadang terlupa akan peranan dalam menjaga kesucian agama selepas dikenali ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram