MANCHESTER United memulakan kempen musim ini dengan langkah kanan selepas mereka meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Fulham dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lepas.
Kemenangan itu sekali gus membuktikan perancangan Erik ten Hag sudah mula membuahkan hasil, lebih-lebih lagi selepas pemain yang baru sahaja ditandatangani, Joshua Zirkzee menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan itu.
Tetapi, sekiranya skuad The Red Devils bercita-cita tinggi bagi saingan musim ini, muka-muka yang lebih berkualiti perlu didapatkan bagi memberi saingan.
BACA LAGI: Pemilik Manchester United ada sebab tak pecat Ten Hag
BACA LAGI: Leny Yoro tinggal selangkah sarung jersi Manchester United
Ben Chilwell dilaporkan tidak berada dalam perancangan Chelsea bagi musim ini. — Agensi
Jadi, tidak hairanlah apabila pasukan itu dilaporkan sedang berusaha untuk menyambar bek kiri antarabangsa England, Ben Chilwell yang difahamkan mahu meninggalkan Chelsea.
Dalam laporan terkini, pemain berusia 27 tahun berkenaan dibenarkan mencari kelab baharu sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup kerana dia tidak berada dalam perancangan pengurus, Enzo Maresca.
Ini kerana pengendali The Blues itu sudah memiliki Marc Cucurella di posisi berkenaan sementara Levi Colwill juga boleh beraksi jika diperlukan.
Malah, kehadiran Chilwell juga seperti kurang dihargai selepas pemain itu tidak diletakkan dalam skuad ketika Chelsea tewas kepada Manchester City pada aksi pembukaan.
Dalot terpaksa beraksi sebagai bek kiri buat skuad The Red Devils. — Agensi
Sekiranya situasi itu berterusan, bekas pertahanan Leicester City tersebut sudah tentu akan mencari destinasi terbaru dengan Manchester United merupakan pilihan terbaik.
Ketika ini, skuad The Red Devils tidak memiliki lambakan pilihan selepas Tyrell Malacia dan Luke Shaw berada dalam konflik kecederaan sejak pertengahan musim lalu.
Pemain antarabangsa Portugal, Diogo Dalot terpaksa diturunkan di posisi bek kiri meskipun dia lebih sesuai untuk beraksi di pertahanan sayap kanan.
Kehadiran Chilwell bakal menyaksikan Manchester United membuat sebanyak tujuh rekrut pada jendela perpindahan kali ini dalam misi kelab menambah baik prestasi pasukan.
Namun, sejarah kecederaan pemain itu sudah tentu dikhuatiri ten Hag memandangkan dia tidak mahu lagi masalah sama berulang dalam tahun ketiganya bersama kelab berkenaan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram