'Saya dan keluarga merana dalam diam', Antony bebas dakwaan serang bekas kekasih


  • Podium
  • Rabu, 21 Ogos 2024

Antony dibebaskan daripada dakwaan keganasan domestik ke atas bekas teman wanitanya. — Agensi

POLIS Brazil membebaskan pemain sayap Manchester United, Antony daripada dakwaan keganasan domestik ke atas bekas teman wanitanya.

Antony, 24, didakwa menyerang dan mengugut bekas pasangannya, Gabriel Cavallin, menjurus kepada siasatan oleh polis Sao Paulo.

Bagaimanapun selepas setahun laporan dibuat, polis tidak menemui bukti mencukupi untuk mendakwa pemain itu dan menamatkan siasatan mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya rekod 3 gol sepanjang karier, peledak Brazil belum tentu boleh saingi Ramon Machado

BACA LAGI: Pertembungan 'reunion' ex import, Svay Rieng bawa rekod cemerlang jumpa Terengganu

Cavallin, yang bekerja sebagai DJ, membuat tuduhan itu pada Mei 2023 dengan mengatakan dia didera oleh Antony pada tahun sebelumnya.

"Dia menyimbah air kepada saya, menendang saya, menarik rambut saya, menghantuk kepala saya hingga luka.

"Dia memegang kedua-dua tangan saya, melemparkan saya ke atas katil dan menindih saya.

"Ketika itu silikon payudara saya beralih. Saya tercungap-cungap dan rasa seperti hampir hilang nyawa," kata Cavallin.

Cavallin turut mendakwa Antony mengurungnya di rumah dan tidak membenarkan dia keluar.

"Dia memecahkan beg saya, mengambil beg tangan dan pasport saya. Dia memecahkan telefon bimbit saya, dan tidak melepaskan saya.

"Saya dikurung dari pukul 10 malam hingga 3.30 pagi. Dia beritahu yang dia hanya akan melepaskan saya selepas saya memadamkan kesemuanya," katanya.

Antony menafikan sebarang salah laku dan berkata: "Saya mahu bercakap buat pertama kali terhadap dakwaan palsu ke atas saya.

"Saya berdiam diri sehingga saat ini kerana tidak mahu mengganggu proses siasatan, tetapi sepanjang tempoh itu saya dan keluarga saya merana dalam diam.

"Selepas siasatan ditutup, saya terbukti tidak bersalah dan keadilan akan ditegakkan. Imej saya yang terjejas pada awalnya akan menjadi kisah silam.

"Terima kasih di atas sokongan kepada saya sepanjang tempoh sukar itu."

Siasatan oleh polis Greater Manchester di United Kingdom bagaimana masih diteruskan selepas Antony didakwa melakukan serangan ke atas Cavallin pada empat tarikh berbeza - termasuk ketika dia hamil pada Jun 2022. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram