Bek kanan England jadi 'mangsa' Man United selepas kehadiran Mazraoui


  • Podium
  • Rabu, 14 Ogos 2024

Mazraoui dibawa masuk Manchester United dengan yuran perpindahan cukup berbaloi dari Bayern Munich. — Agensi

DEMI mengukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan, Manchester United bertindak menyambar bek kanan antarabangsa Maghribi, Noussair Mazraoui dari Bayern Munich.

Yuran perpindahan yang menelan kos sehingga €15 juta (RM73 juta) itu dilihat sebagai pelaburan berbaloi berdasarkan prestasi dan reputasi dimiliki pemain berkenaan.

Malah, pengalamannya beraksi di bawah Erik ten Hag ketika kedua-dua mereka berada di Ajax akan memudahkan lagi proses penyesuaian diri dalam skuad The Red Devils.

BACA LAGI: Pemilik Manchester United ada sebab tak pecat Ten Hag

BACA LAGI: Baru saja berbaik dengan Ten Hag, Sancho tiba-tiba mahu ubah angin ke PSG

Aaron-Wan-Bissaka-Man-Utd-1

Wan Bissaka beraksi untuk lima musim buat skuad The Red Devils bermula 2019. — Agensi

Bagaimanapun, bagi memastikan terdapat ruang buat Mazraoui, pihak pengurusan Manchester United bertindak merelakan pemergian bek antarabangsa England, Aaron Wan Bissaka.

Dalam satu laporan terbaru, pemain berusia 26 tahun itu secara rasmi menyertai kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), West Ham United dengan yuran perpindahan bernilai €17.5 juta (RM85.3 juta).

Wan Bissaka difahamkan sudah menandatangani kontrak yang mengikatnya selama tujuh tahun dengan pasukan London berkenaan, sekali gus menamatkan kisahnya bersama Manchester United.

Untuk rekod, pemain itu disambar skuad The Red Devils dari Crystal Palace pada 2019 dalam misi kelab tersebut mengukuhkan lagi benteng pertahanan mereka.

_arf4331

Wan Bissaka diumumkan sebagai rekrut terbaru skuad The Hammers. — Agensi

Pada awalnya, Wan Bissaka mempamerkan aksi cukup baik setiap kali diturunkan dalam aksi EPL mahupun di pentas Eropah, termasuk dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Bagaimanapun, kecederaan menyaksikannya sukar meraih penampilan secara konsisten sehingga menyaksikan ten Hag lebih tertarik untuk menurunkan Diogo Dalot di posisi bek kanan.

Sepanjang beraksi untuk Manchester United, Wan Bissaka merekodkan 190 penampilan secara keseluruhan dengan dua gol dan 13 bantuan jaringan sempat direkodkannya.

Dalam tempoh berkenaan, dia sempat merasai kejayaan apabila pernah membantu kelab terbabit menjulang Piala Liga pada 2023 dan Piala FA musim lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram