[VIDEO] Berita baik, tonggak Sang Badak hampir kembali ke padang lepas lama 'berehat'


  • Podium
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Masalah kecederaan jelas menyebabkan skuad Sang Badak bergelut untuk memberikan aksi terbaik sepanjang musim. — Facebook/Sabah FC

MUSIM ini, isu kecederaan serius melanda Sabah FC dengan beberapa tonggak utama terpaksa disisihkan seperti Stuart Wilkin dan Darren Lok yang dirasai ketiadaan masing-masing.

Bagaimanapun, kehilangan penjaga gol, Damien Lim jelas memberi tamparan terhebat terhadap skuad Sang Badak dengan peranan berkenaan dipikul Khairul Fahmi Che Mat.

Tidak boleh dinafikan bahawa pemain veteran itu sudah menampilkan persembahan terbaik, terutamanya ketika menyelamatkan sepakan penalti ketika berdepan Kelantan Darul Naim FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC.

BACA LAGI: Silap 2 kali Sang Badak hadiahkan Selangor kemenangan pertama di tempat lawan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Bila mahu keluar bos?' Instagram pengarah Sabah FC diserang fans Sang Badak

Namun, sukar untuk menidakkan impak kehilangan Damien Lim menyaksikan benteng pertahanan Sabah FC terlalu mudah untuk ditembusi dengan 13 gol sudah dilepaskan kelab Borneo itu dalam lapan aksi Liga Super.

Catatan berkenaan menyaksikan mereka memiliki rekod lebih buruk berbanding 10 pasukan lain, termasuk skuad Warga Kota yang mengalami masalah pengurusan.

Bagaimanapun, kerisauan penyokong Sabah FC akhirnya terpadam selepas kelab itu berkongsi video pendek memaparkan Damien Lim sudah kembali ke padang latihan.

Menerusi hantaran di akaun media sosial pasukan, penjaga gol berusia 27 tahun itu sudah kembali melakukan latihan ringan sebelum boleh menyertai latihan skuad utama.

2085892

Damien Lim menjadi watak penting sepanjang beraksi untuk skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Perkhabaran itu sudah tentu membawa keriangan buat peminat kelab Borneo tersebut selepas mereka dapat kembali menyaksikan bekas 'ubi muda' Johor Darul Ta'zim itu kembali ke padang.

Untuk rekod, Damien Lim merekodkan 11 penampilan dalam saingan Liga Super 2023, namun hanya mencatatkan satu 'clean sheet' ketika berdepan Sri Pahang.

Namun, musim ini, dia masih belum diturunkan berikutan kecederaan medial collateral ligament (MCL) yang dialaminya sehingga dia terpaksa berehat untuk beberapa bulan.

Ketiadaannya itu menyaksikan Khairul Fahmi terpaksa mengisi kekosongan, namun skuad Sang Badak berdepan masalah pertahanan mudah dibolosi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram