KEKALAHAN Terengganu FC (TFC) ke atas kelab Kemboja, PKR Svay Rieng FC dalam aksi pertama peringkat kumpulan Piala Shopee atau Kejuaraan Kelab Asia Tenggara pada Rabu masih dibincangkan penyokong skuad Sang Penyu.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu, skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner terpaksa menanggung malu apabila tewas 2-3 kepada pasukan Blue Saber tersebut.
Svay Rieng meraih kemenangan menerusi jaringan gol dari Gabriel Silva, diikuti Pablo Agusto dan Min Ratanak mengesahkan tiga mata milik pasukan berkenaan. Manakala, Terengganu mengurangkan defisit dengan gol dari Manuel Ott dan Safawi Rasid.
BACA LAGI: Pertembungan 'reunion' ex import, Svay Rieng bawa rekod cemerlang jumpa Terengganu
BACA LAGI: Terengganu nafi khabar angin Tomislav Steinbruckner meninggal dunia
Dengan reputasi Terengganu yang berada pada kedudukan ketiga liga dan mempunyai ramai pemain berkualiti, skuad Sang Penyu sepatutnya boleh memberi saingan sengit kepada Svay Rieng.
Perkara berkenaan juga dipersetujui oleh legenda bola sepak Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, yang beranggapan pasukan Pantai Timur itu tidak menanam semangat juang tinggi dan tidak mempunyai strategi permainan.
"Sepatutnya jurulatih sudah mempersiapkan taktikal dan percaturan yang lebih baik kepada pemain TFC apabila berdepan Svay Rieng yang dilihat juga mempunyai pemain import berkualiti.
"Apabila berdepan pemain berkualiti dari kelab lain, TFC perlu menanam balik semangat juang yang tinggi untuk mencapai kemenangan perlawanan. Ia juga perlu diguna pakai pada perlawanan yang akan datang," katanya kepada Majoriti.
Che Ku Marzuki menambah, Steinbruckner sebagai pengendali juga tidak menjalankan tugasnya dengan baik dan berasakan pengendali Croatia itu sepatutnya sudah mendapat surat amaran sejak kekalahan di tangan Selangor FC pada aksi Piala FA.
Terengganu tidak berhasil mara ke perlawanan akhir Piala FA selepas tewas di tangan skuad Gergasi Merah menerusi agregat 6-4 dalam aksi separuh akhir kedua pada 3 Ogos 2024.
"Masa ini (menentang Selangor FC) sepatutnya pengurusan TFC sudah ambil kira KPI dan surat amaran sepatutnya sudah hantar. Kelemahan Tomi (Tomislav Steinbruckner) bermula dengan lawan Selangor yang mana corak permainan dan semangat juang pemain tiada.
"Walaupun tidak boleh nak salahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih tetapi mesti kena ambil tindakan sebab kekalahan seperti di tangan Selangor dan Shoope Cup ini. Sekiranya tidak ambil tindakan, beberapa perlawanan akan jadi kurang baik," tambahnya.
Kesebelasan utama Terengganu menentang Svay Rieng. — Facebook/TFC
Untuk rekod, Terengganu diundi dalam Kumpulan A bersama wakil Thailand BG Pathum United, PSM Makassar (Indonesia), Dong A Thanh (Vietnam), Shan United (Myanmar) dan Svay Rieng (Kemboja). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram