Silap 2 kali Sang Badak hadiahkan Selangor kemenangan pertama di tempat lawan


  • Podium
  • Selasa, 13 Ogos 2024

Keputusan di Stadium Likas menyaksikan Sabah terpaksa putih mata selepas tewas kepada Selangor dengan keputusan 1-2. — Facebook/Sabahfc

SELANGOR FC terus kekal di tempat kedua saingan Liga Super 2024/25 selepas menewaskan Sabah FC dengan keputusan 2-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad kendalian Nidzam Jamil berjaya meraih kemenangan sulung mereka musim ini di gelanggang lawan.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee akhirnya memakan diri apabila membenarkan Selangor membawa pulang dua gol.

BACA LAGI: Rezeki turun 'friendly', bintang muda futsal Selangor kini 'terbang' ke Sarawak

BACA LAGI: Usikan 2 rakan beri hint Selangor sanggup labur wang demi tebus kontrak penyerang Jordan

WhatsApp Image 2024-08-13 at 21.52.31

Ronnie (tengah) mencetak gol pertama buat Selangor FC. Facebook/Selangorfc

Menerusi perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu menyaksikan kedua-dua pasukan membuat serangan bertali arus untuk mendapatkan kelebihan jaringan pada babak pertama.

Begitu pun, kesilapan mudah pertahanan Gergasi Merah, Safuwan Baharudin akhirnya makan diri apabila menghadiahkan jaringan kepada Sang Badak pada minit ke-27.

Meskipun begitu, import Selangor FC, Ronnie Fernandez berjaya menyamakan kedudukan hasil kesilapan mudah benteng pertahanan The Rhinos yang sekali gus membenarkan pelawat meledak jaringan pada minit ke-32.

Gary Steven Robbat yang mempunyai peluang untuk meletakkan Sabah di kedudukan yang selesa tidak kesampaian apabila tendangannya sedikit tersasar dari pintu gawang pelawat.

Malah, Selangor FC juga berpeluang mencipta kebangkitan dalam 45 minit pertama apabila Alvin Fortes berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat dari jarak dekat.

Bagaimanapun, penjaga garisan mendapati bola sudah terkeluar daripada kawasan permainan sebelum Yohandry Orozco melakukan hantaran, sekali gus membatalkan gol berkenaan.

Keputusan itu menyaksikan pelbagai aksi menarik disajikan antaranya layangan kad kuning Ronnie membuahkan hasil apabila dia berjaya mencetak gol penyamaan menewaskan penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

WhatsApp Image 2024-08-13 at 22.02.43

Sebahagian aksi menarik antara tonggak Sabah, Jafri Chew (kiri) yang cuba merampas bola daripada pemain Gergasi Merah. — Facebook/Selangorfc

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat dilihat banyak membuat serangan ke kubu tuan rumah namun gagal menembusi benteng terakhir Sang Badak.

Gergasi Merah pastinya kecewa selepas dua percubaan tonggak Selangor, Nooa Laine dan Alexander Agyarkwa terkena palang tuan rumah.

Meskipun kedua-dua pasukan sering berbalas serangan namun tiada jaringan berjaya diledak sebelum memasuki minit ke-80.

Begitupun, kemasukan Faisal Halim pada minit ke-81 sebagai pemain gantian nyata membakar semangat rakan sepasukannya apabila Harith Haiqal Adam Afkar mencetak gol kemenangan buat Selangor FC.

Jaringan Harith Haiqal sekali gus berjaya mengesahkan tiga mata penting akhirnya buat Selangor setelah ledakan bintang muda itu gagal diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah.

Dengan kemenangan itu, Selangor kekal menghuni tangga kedua liga, manakala Sabah menduduki kedudukan keempat dengan 13 mata selepas lapan perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram