PERTEMBUNGAN Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada Sabtu ini untuk menentukan juara Piala FA 2024 amat dinanti-nantikan penyokong kedua-dua pasukan.
Drama di luar padang dan prestasi musim ini menjadi topik hangat apabila masing-masing sudah tidak sabar untuk memberi persembahan terbaik sepanjang 90 minit di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Meskipun kelebihan masih berpihak kepada skuad Harimau Selatan, Selangor sudah tentu bersemangat kerana mereka sudah terlalu lama tidak merasai kejayaan sebegitu.
BACA LAGI: Piala FA: Menang atau kalah, Johor umum cuti peristiwa Ahad ini
BACA LAGI: Final Piala FA: Legenda harap kedua-dua fans berbaik, tak perlu sambung lawan luar padang
Kedua-dua pasukan sudah tentu berharap untuk membawa pulang trofi tersebut. — Facebook/MFL
Tetapi, dengan keunggulan JDT di pentas domestik, mereka juga tidak mahu turun dengan mentaliti mengalah dalam misi menjuarai Piala FA buat tahun ketiga berturut-turut.
Melihat kepada pertembungan antara mereka dalam musim-musim kebelakangan ini, terdapat petanda bahawa aksi tersebut akan menyajikan perlawanan hangat.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, ini merupakan tiga pertembungan paling sukar dilupakan antara kedua-dua finalis Piala FA 2024 dalam tahun-tahun kebelakangan ini.
1. JDT 4-0 Selangor (Piala FA 2023)
Kedua-dua pasukan itu turut bertembung dalam Piala FA musim lalu, iaitu di pusingan separuh akhir dengan aksi tersebut diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Seperti diramal, skuad Harimau Selatan tidak berdepan sebarang masalah untuk muncul sebagai pemenang meskipun lawan mereka tampil dengan pasukan terbaik.
Namun, apa yang cukup mengejutkan adalah apabila tonggak tuan rumah, Arif Aiman Hanapi mencetak jaringan hatrik pada 45 minit pertama.
Sumbangan itu menyaksikan JDT meraih kemenangan 4-0 dengan import Argentina, Fernando Forestieri menjadi seorang lagi penjaring di laman sendiri.
Kejayaan meraih tiket ke perlawanan akhir itu dimanfaatkan mereka apabila turut meraih kemenangan ke atas Kuala Lumpur (KL) City FC di venue sama.
2. JDT 1-1 Selangor FC (Liga Super 2022)
Sebelum kehadiran Tan Cheng Hoe, skuad Gergasi Merah tidak berada dalam prestasi terbaik dengan kekalahan demi kekalahan dialami mereka di pentas domestik.
Bagaimanapun, mereka secara tiba-tiba beraksi dengan baik ketika skuad Harimau Selatan hadir ke Stadium MBPJ, Selangor dalam saingan Liga Super.
Selepas ketinggalan kepada pasukan pelawat menerusi Bergson da Silva, skuad Gergasi Merah tidak berputus asa sehingga Herlison Caion mengikat kedudukan.
Kejayaan itu amat diraikan apabila JDT sememangnya sukar untuk digugat dengan sukar bagi mereka menggugurkan sebarang mata di Liga Super.
Namun, aksi itu lebih sukar dilupakan kerana mutu pengadil, Zulkarnain Zakaria yang dipersoalkan berikutan keputusan untuk memberi penalti kepada JDT.
Tindakan itu jelas sukar diterima apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Johan Kamal Hamidon sendiri meluahkan kekecewaan di hadapan pengadil itu.
3. JDT 6-1 Selangor FC (Liga Super 2020)
Seperti dikatakan di atas, Selangor FC tidak berada dalam prestasi terbaik dengan reputasi dan keunggulan mereka tidak lagi dirasai pihak lawan.
Namun, titik terendah skuad Gergasi Merah ketika itu adalah semasa mereka tewas kepada JDT di tempat lawan pada 2020 dengan keputusan 1-6.
Dua gol daripada Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah sememangnya sukar diterima sementara Diogo dan Gonzalo Cabrera turut berada dalam senarai penjaring.
Gol Selangor FC pula dijaringkan Rufino Segovia dengan ia jelas tidak bermakna buat pasukan Gergasi Merah yang tidak beraksi baik dalam perlawanan itu.
Selepas itu, Selangor FC mula membuat perancangan lebih baik dalam misi menghalang kekalahan sedemikian dialami setiap kali berdepan skuad Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram