Admin TFC beri hint '99', bakal import Peteh dicanang tiba dengan reputasi sebaik Diogo, pernah beradu dengan Messi


  • Podium
  • Rabu, 21 Ogos 2024

Antara momen Bonilla (kiri) pernah menentang Messi dalam satu aksi persahabatan pada awal tahun ini.  — Agensi

MASALAH barisan hadapan Terengganu FC (TFC) seperti sudah menemui jawapannya apabila Sang Penyu dikhabarkan akan membawa masuk penyerang import dari El Salvador, Nelson Bonilla pada pusingan kedua jendela perpindahan Liga Malaysia (Liga M).

Bonilla merupakan seorang penyerang yang berpengalaman beraksi di Romania, Portugal Azerbaijan, Turkiye dan beberapa kelab Liga 1 Thailand seperti Port FC, Bangkok United, Subkhotai FC serta Chiangrai United.

Nama pemain berusia 33 tahun itu mungkin kurang dikenali dalam kalangan peminat domestik namun siapa yang mengikuti saingan Liga 1 Thailand, pasti menyedari bahawa reputasinya sebaik bekas import Johor Darul Ta'zim (JDT), Diogo.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiga penyerang Croatia 'harga' sama dengan Ivan Mamut boleh dipancing TFC

BACA LAGI: 'Tahu Ivan Mamut cedera, tapi takkan TFC langsung tiada 'update' perkembangan semasa'

Diogo yang meninggalkan bumi Johor pada hujung musim lalu itu tiba dengan dia pernah menjaringkan 132 gol dalam 159 dan memenangi 11 kejuaraan penampilan sepanjang tiga tahun beraksi bersama Buriram United.

Tidak kurang hebatnya, pemain yang juga ketua pasukan skuad kebangsaan El Salvador itu juga sudah meledak 77 gol sepanjang beraksi di saingan Liga Thailand dari musim 2018 sehingga 2023.

Selain berstatus penyerang disegani di saingan Liga Thailand, Bonilla juga berpengalaman pernah beradu dengan bintang bola sepak dunia, Lionel Messi pada aksi El Salvador menentang Inter Miami.

Dalam perlawanan persahabatan yang berakhir dengan keputusan seri 0-0 itu, Bonilla diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten.

WhatsApp Image 2024-08-21 at 11.30.42

Tangkap layar media sosial Terengganu.

Khabar angin Bonilla bakal menyarung jersi Terengganu semakin diyakini apabila admin Terengganu memuat naik hantaran '98+1=?' yang seolah-olah memberi bayangan pemain itu bakal menyarung jersi 99 bersama Sang Penyu nanti.

Kehadiran Bonilla mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ivan Mamut apabila difahamkan dia kini sedang menjalani pembedahan di Finland bagi membantunya mendapatkan rawatan yang berkesan dan kembali beraksi bersama TFC.

Meskipun ia kedengaran seperti perkembangan positif dari kem Terengganu namun persoalan timbul dalam kalangan penyokong sama ada Mamut masih berbaloi untuk terus disimpan sehingga menunggunya pulih.

Masakan tidak, dengan Terengganu dijadualkan akan menyertai kejohanan seperti Piala Shopee bagi peringkat antarabangsa serta Piala FA dan Liga Super untuk saingan domestik, lebih baik wang berkenaan dilabur untuk mencari penyerang baharu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram