SABAH FC memperkukuhkan lagi barisan serangan mereka dalam menghadapi baki saingan Liga Super musim 2024/2025 dengan mengikat khidmat penyerang import baharu.
Menerusi kenyatan yang dikeluarkan pada Selasa, Sabah memaklumkan bahawa Joao Pedro Boeira Duarte, 24, mengikat kontrak selama sembilan bulan bermula 15 Ogos lepas hingga 30 April tahun depan.
Duarte dibawa masuk bagi mengisi slot perpindahan kedua Liga Malaysia dan diharap dapat menjadi penyelesaian kepada masalah ketumpulan penyudah Sang Badak dalam saingan Liga Super musim ini.
BACA LAGI: Jika JDT 'buka kedai', Negeri Sembilan dan 2 kelab Pantai Timur jangan lagi buang masa
BACA LAGI: [VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA
Duarte ketika mengikuti sesi latihan pasukan Sabah FC. — Facebook/Sabahfc
Begitupun, kehadiran peledak kelahiran Brazil itu mengundang kerisauan dalam kalangan penyokong yang mulai membandingkan Duarte dengan bekas peledak Sang Badak, Ramon Machado yang mengambil keputusan meninggalkan kelab tersebut untuk menyertai kelab Azerbaijan, Araz-Nakhchivan pada bulan lalu.
Timbul pula persoalan di sosial media, adakah Duarte mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Machado selepas dia cemerlang bersama Sabah pada musim lepas.
Bukan itu sahaja, ada juga mempersoalkan adakah kehadiran Duarte akan sama seperti bekas penyerang import Sabah FC, Jose Embalo yang pernah menjadi harapan pasukan nampaknya tidak mencapai level yang dimahukan penyokong.
Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong The Rhinos berharap agar kehadiran Duarte mampu membantu jentera serangan Sabah yang kini dilihat dalam keadaan membimbangkan.
"Mantap, harap-harap tidak kena scam macam abang Embalo dulu-dulu," kata Tom Bee Ruo.
"Ramon Manchado 2.0 atau Embalo 2.0? Harap tak kena scamlah lagi, sekali datang macam Embalo, susah oh," kata Rabbid.
"Alamak, kalau betul-betul 12 perlawanan dua gol dia, bagus sikit dari si Embalo, macam satu gol kalau tidak silap," kata Win Felik.
Untuk rekod, bersama kelab Viettel FC dari Mac hingga bulan lepas, penyerang berketinggian 185 sentimeter itu sempat bermain 12 perlawanan dan menyumbang dua gol untuk pasukan berkenaan dalam saingan Liga Vietnam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram