DEBARAN menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC semakin dirasai dengan tiket untuk aksi itu sudah hampir habis dijual.
Manakan tidak, perseteruan antara kedua-dua pasukan itu semakin dirasai beberapa musim kebelakangan ini selepas masing-masing cuba untuk menjadi yang terbaik dalam negara.
Hubungan tegang itu turut diakui penyokong memandangkan suasana setiap kali mereka bertembung sememangnya cukup hangat, baik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor mahupun di Stadium MBPJ, Selangor.
BACA LAGI: Final Piala FA: Legenda harap kedua-dua fans berbaik, tak perlu sambung lawan luar padang
BACA LAGI: Piala FA: Menang atau kalah, Johor umum cuti peristiwa Ahad ini
Trofi Piala FA dan bola yang akan digunakan dalam perlawanan itu.
Bagaimanapun, dalam tinjauan di media sosial baru-baru ini, mereka seakan-akan mempunyai kata sepakat terhadap isu kalimah ALLAH pada logo Selangor FC yang dicetak pada bola perlawanan akhir itu.
Ini berikutan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyertakan logo kedua-dua pasukan di bola khas tersebut dengan tiada masalah dihadapi JDT.
Namun, kisah berbeza sudah tentu dihadapi skuad Gergasi Merah dengan lambang kelab Lembah Klang itu jelas memaparkan kalimah agung itu untuk bertahun-tahun lamanya.
Untuk rekod, kalimah ALLAH pada lambang negeri Selangor ialah sebahagian daripada logo kelab bola sepak Selangor FC . Kalimah tersebut merupakan cogan negeri yang ditulis dalam perkataan Jawi berbunyi 'Dipelihara ALLAH'.
Situasi itu menjadi topik perbualan penyokong kerana masing-masing berasakan perkara tersebut seakan-akan melanggar sensitiviti umat Islam dalam negara.
"Perkara ini dibuat dengan persetujuan pihak atasan atau tidak? Kalau ada, tidakkah pengurusan Selangor FC tahu bahawa adanya kalimah ALLAH. Suruhlah mereka membuang logo tersebut, itu lebih baik," kata Qhirol Azzam.
Perlawanan hangat sudah tentu dinanti-nantikan antara kedua-dua pasukan ini. — Facebook/MFL
"Kami sebagai rakyat Selangor membantah penggunaan logo rasmi negeri Selangor yang tertera kalimah ALLAH untuk digunakan di bola rasmi perlawanan akhir Piala FA," kata Abdul Halim Aini.
"Jata negeri tidak perlu diletakkan. Kalimah ALLAH ini lebih besar dari segalanya. Kita yang datang menonton juga akan terlibat sama. Semoga ada perubahan jika ia benar berlaku," kata Azhar Aziz.
Perubahan terhadap corak dan reka bentuk sememangnya sukar untuk dilakukan memandangkan perlawanan akhir tersebut akan berlangsung pada Sabtu, sekali gus menyukarkan proses perubahan.
Antara langkah terbaik yang mungkin boleh diambil adalah dengan menutup jata negeri di logo tersebut bagi memastikan kesemua pihak dapat menerima perkara itu dengan hati terbuka.
Setakat ini, Majoriti sudah menghubungi MFL sebagai penganjur mengenai perkara ini dan akan mengemas kini maklumat yang diperolehi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram