PERLAWANAN final Piala FA 2024/2025 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC diharap dapat menjadi landasan terbaik mengukuhkan lagi hubungan erat antara penyokong kedua-dua pasukan ini, lapor Stadium Astro.
Itu antara harapan bekas pemain Johor era 90-an, Rizal Sukiman yang melihat pertembungan dua pasukan gergasi ini sebagai perlawanan tumpuan puluhan ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur 24 Ogos ini.
Apatah lagi sempena Hari Kemerdekaan yang bakal tiba pada 31 Ogos ini, sudah tentu apa yang diinginkan adalah untuk menyaksikan keharmonian dan perpaduan yang utuh dapat ditonjolkan oleh seluruh rakyat Malaysia pada hari perlawanan itu nanti.
BACA LAGI: Jika JDT 'buka kedai', Negeri Sembilan dan 2 kelab Pantai Timur jangan lagi buang masa
BACA LAGI: [VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA
Sebahagian sesi latihan pemain Gergasi Merah yang pastinya mahu merebut gelaran juara bagi Piala FA 2024. — Facebook/Selangorfc
Justeru, dia menjangkakan inilah masanya untuk melihat bagaimana sukan bola sepak ini akan terus menyuntik semangat harmoni dalam kalangan penyokong bagi membuktikan perlawanan sebegini sebenarnya mampu membentuk hubungan positif dan progresif seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Jiwa Merdeka”.
Meskipun perlawanan final itu dilihat sebagai pertembungan hangat antara JDT dan Selangor, tetapi bekas pemain yang pernah memenangi Piala FA musim 1998 bersama Johor itu mengharapkan agar tiada provokasi yang tidak sepatutnya berlaku selain semua penyokong perlu lebih bersikap matang agar dapat menikmati perlawanan tersebut dengan harmoni.
“Final ini bagi saya adalah perlawanan yang wajib ditonton oleh seluruh peminat sebab menemukan dua pasukan terbaik pada waktu ini.
“Yang penting kena profesional baik atas padang atau luar padang. Penyokong mestilah akan sokong pasukan kesayangan mereka, tetapi tetap semuanya kena ada batas.
“Bila dah habis perlawanan, wisel penamat dah ditiupkan, kalah menang semuanya kita dah saksikan atas padang, jadi tak perlu dah nak sambung lawan di luar padang, cukup 90 minit dalam perlawanan sahaja.
“Jadikanlah aksi final ini satu tempat untuk kita mengharmonikan hubungan masing-masing sebab kadang-kadang mestilah akan ada yang suka buat provokasi.
“Jadi, setiap penyokong haruslah bijak dan berlapang dada apabila menyokong pasukan masing-masing," katanya.
Kehadiran Safuwan Baharudin dijangka mampu membantu mengekang serangan Harimau Selatan nanti. — Facebook/Selangorfc
Sementara itu, bekas pemain yang pernah menjuarai Piala FA pada 2009 bersama Selangor, iaitu Mohd Nasriq Baharom turut senada apabila memberi bayangan pertembungan final tersebut akan menjadi satu perlawanan epik antara kedua-dua pasukan.
Justeru, dia percaya selain aura positif yang diinginkan daripada kalangan penyokong, sudah tentu pertempuran JDT dan Selangor di atas padang juga akan menjadi sajian luar biasa kepada seluruh peminat bagi menyaksikan pasukan manakah akan merangkul trofi Piala FA musim ini.
"Saya rasa pasukan Selangor salah satu pasukan yang mampu memberi saingan sengit untuk pasukan JDT. Buat masa sekarang, kita tidak nafikan memang pasukan JDT pasukan nombor satu tapi saya rasa Selangor ialah salah satu pasukan yang boleh mencabar pasukan JDT."
"Saya rasa enjin pasukan Selangor sekarang ialah Orozco dan pemain kanan, Alvin Fortes dan pemain tempatan seperti Harith Haiqal bermain di posisi pertahanan tengah, diorang inilah yang perlu diberi perhatian oleh pasukan JDT.
"Harapan saya, Piala FA ini mungkin dah lama pasukan Selangor tak mencapai kejayaan dan JDT selaku juara bertahan sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah. Jadi, saya rasa ini adalah perlawanan yang menarik untuk kita semua dan yang turut dinanti-natikan oleh ramai peminat”, katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram