[VIDEO] Hanya rekod 3 gol sepanjang karier, peledak Brazil belum tentu boleh saingi Ramon Machado


  • Podium
  • Rabu, 21 Ogos 2024

Pedro hanya menjaringkan dua gol dalam Liga Vietnam sebelum menyertai Sabah. — Facebook/Sabah FC

SELEPAS sebulan penyerang import sensasi Sabah FC, Ramon Machado meninggalkan pasukan dari Borneo itu, kini Sang Badak telah menemui pengganti baharu dari Brazil.

Pengganti yang dimaksudkan itu adalah Joao Pedro Boeira Duarte yang direkrut daripada kelab Vietnam, Viettel FC selepas dia menamatkan kontrak pada Julai lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu telah mengikat kontrak selama sembilan bulan berkuat kuasa 15 Ogos hingga 30 April 2025.

BACA LAGI: Sabah guna khidmat import Jepun, sambar 2 tonggak kebangsaan perkuat pasukan ke Asia

BACA LAGI: Temui jodoh dengan wanita tempatan, 3 import layak sarung jersi Harimau Malaya

Namun timbul persoalan, adakah Pedro mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Machado selepas dia cemerlang bersama Sabah pada musim lepas.

Dalam 27 penampilan bersama Sabah, Machado telah meledak 18 jaringan serta empat bantuan gol semasa mewakili pasukan itu.

Lain pula ceritanya dengan Pedro yang hanya mampu menjaringkan dua gol dalam 12 penampilan di Liga Vietnam.

Menerusi data laman web Transfermarkt, Pedro hanya menjaringkan tiga gol dalam 31 penampilannya bersama empat buah kelab sepanjang kariernya.

Pedro sebelum ini menghabiskan kariernya di liga daerah Brazil, Campeonato Gaúcho bersama dua kelab Sociedade Esportiva Juventude (MA) dan Guarany de Bage FC sebelum mendapat peluang beraksi dalam liga divisyen keempat (Campeonato Brasileiro Serie D) negara itu.

Liga Vietnam antara kejohanan tertinggi buat Pedro bersama Viettel FC dan hanya sempat beraksi selama tiga bulan sebelum disambar pihak pengurusan Sabah.

Kemasukan Pedro melengkapkan lapan pemain import dimiliki Sabah selepas kehilangan Machado yang menyertai kelab Azerbaijan, Araz-Nakhchivan pada bulan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram