PENYERANG kebangsaan wanita, Intan Serah sah menyertai Sabah FA secara pinjaman daripada Kelana United bagi aksi Liga Juara-Juara Wanita Asia yang akan bermula pada 25 Ogos ini di Stadium Likas sebagai venue utama kejohanan.
Pengumuman itu dibuat secara rasmi oleh media rasmi pasukan wanita Sabah FA pada Jumaat (16 Ogos).
Sabah juga membawa masuk kapten Malayan Tigress, Steffi Sarge Kaur untuk memperkuatkan bentang pertahanan The Rhinos selepas pasukan itu menjadi kelab bola sepak wanita pertama di Malaysia untuk melayakkan diri ke pertandingan berprestij tersebut.
BACA LAGI: ‘Semua tamak belaka’, fans Terengganu kecewa Sang Penyu bazir 3 mata di rumah sendiri
BACA LAGI: Temui jodoh dengan wanita tempatan, 3 import layak sarung jersi Harimau Malaya
Jelas kemasukkan dua tonggak utama skuad kebangsaan wanita itu akan dimanfaatkan oleh Sabah untuk terus layak ke pusingan seterusnya dalam kejohanan Asia itu.
Intan Serah sebelum ini pernah berkelana ke Amerika Syarikat (AS), pastinya akan menjadi senjata penting Sabah bagi merobek gawang gol lawan.
Selain itu, Sabah juga membawa masuk dua pemain import dari Jepun iaitu Misaki Nakayama dan Eri Narita bagi memberikan variasi lain dalam corak permainan buat skuad kendalian Justin Ganai.
Untuk rekod, Intan Serah kini merupakan penjaring terbanyak Liga Wanita Nasional (LWN) dengan lapan jaringan dengan Sabah pula menduduki tangga ketiga LWN.
Sabah bersama 14 pasukan lain akan berentap di pusingan kelayakan untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya bersama lapan lagi pasukan teratas yang telah layak berdasarkan kedudukan ranking FIFA.
Seterusnya, empat juara kumpulan akan layak ke peringkat kumpulan yang akan menyaksikan 12 kelab berentap bagi melayakkan ke Liga Juara-Juara Wanita AFC 2024 yang dijadualkan berlangsung pada Januari tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram