Baling botol dekat polis, remaja bawah umur antara 8 fans JDT-TBG ditahan bergaduh di Stadium Perak


  • 112
  • Ahad, 18 Ogos 2024

Polis menahan penyokong Perak dan JDT yang melakukan kekecohan di Stadium Perak pada Sabtu.

POLIS menahan seramai lapan remaja yang terdiri daripada penyokong Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) akibat bergaduh serta membaling objek kepada pihak berkuasa di kawasan Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, tangkapan dilakukan melibatkan lelaki berusia dari 16 hingga 32 tahun yang merupakan warga tempatan.

Menurut Abang Zainal, tangkapan dilakukan sejurus selepas perlawanan Liga Super melibatkan kedua-dua kelab ditangguhkan akibat cuaca buruk.

BACA LAGI: Aksi Perak FC-JDT tunda akibat hujan lebat

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan saja jadi 'bahan' fans lawan, padang lecak Stadium Perak ‘memalukan’ depan bakal import baharu JDT

Tambah Abang Zainal, pada mulanya kesemua sudah dikesan melakukan kekecohan dan menganggu ketenteraman awam sebelum membaling botol ke arah pegawai bertugas.

"Tangkapan dibuat kerana dikhuatiri kekecohan dan provokasi dilakukan akan mengancam ketenteraman awam di tempat itu.

"Hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka negatif dadah, semakan juga menunjukkan tiada rekod lampau berkaitan jenayah," kata Abang Zainal.

Tujuh daripada suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.

Sementara suspek berusia 16 tahun disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Perlawanan antara Perak dan JDT terpaksa ditangguhkan selepas tiga minit ia dilangsungkan kerana faktor cuaca dan padang yang tidak mengizinkan.

Pihak Liga Bola Sepak Malaysia akan mengumumkan satu tarikh baharu untuk perlawanan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram