[VIDEO] Gol mirip Messi kapten muda bantu Selangor benam Pahang, mara ke final bola sepak SUKMA


  • Podium
  • Rabu, 21 Ogos 2024

Messi pernah menjaringkan gol cukup cantik dengan menggelecek melepasi beberapa pemain Real Madrid bertahun-tahun lalu. — Agensi

DALAM temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kali ini, Selangor kelihatan sukar untuk mencapai sasaran 61 pingat emas yang diletakkan meskipun 70 pingat sudah diraih secara keseluruhan.

Meskipun mereka berada di kedudukan keempat dalam carta kutipan pingat, keunggulan Sarawak sebagai tuan rumah serta Wilayah Persekutuan dan Terengganu seperti semakin sukar untuk digugat.

Tetapi, harapan mereka untuk menambah koleksi emas masih terbuka memandangkan skuad bola sepak wanita mereka berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir.

BACA LAGI: [VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA

BACA LAGI: Shahrul Saad jadi idola, resipi rahsia bek tengah bantu Perak mara ke suku akhir SUKMA

WhatsApp Image 2024-08-21 at 1.45.31 PM

Ainsyah terus menjadi watak utama dalam skuad bola sepak wanita SUKMA Selangor. Instagram/Ainsyah Murad

Ini selepas negeri Lembah Klang itu berjaya menundukkan Pahang dengan keputusan 3-0 dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak pada Selasa.

Tugas berat dipikul Selangor dalam perlawanan berkenaan selepas penjaga gol, Nur Ezza Ashikin dilayangkan kad merah berikutan tindakan menggunakan tangan di luar kotak penalti pada babak pertama.

Namun, keunggulan anak-anak buah Osmera Osmaro dalam perlawanan itu tidak boleh ditandingi dengan ketiga-tiga jaringan berkualiti yang direkodkan menjadi bukti.

Tumpuan utama sudah pasti diberikan kepada kapten, Nur Ainsyah Murad yang beraksi cukup cemerlang dengan satu gol dan satu 'assist' dicatatkan pemain tengah itu.

Hantaran cantik dicipta kepada Nur Adrienna Zamzaihiri pada minit ke-61 disudahkan dengan percubaan tenang ke arah pintu gol meskipun terdapat tepisan awal dilakukan penjaga gol Pahang.

Bagaimanapun, pada masa kecederaan, kecemerlangan sebenar Nur Ainsyah dapat disaksikan selepas pemain berkenaan menggelecek empat pemain lawan sebelum melorongkan bola untuk meletakkan Selangor selesa dengan tiga gol di hadapan.

Kelincahan pemain skuad Gergasi Merah itu sememangnya cukup memukau memandangkan dia kelihatan cukup tenang sepanjang menewaskan hampir separuh pemain Pahang untuk merekodkan gol peribadinya dalam perlawanan tersebut.

Malah, jaringan tersebut boleh dikatakan seakan-akan gol pernah diciptakan Lionel Messi ketika berdepan Real Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2010/11.

Jaringan itu turut diraikan dengan meriah selepas rata-rata pemain yang berada di bangku simpanan mengerumuni kapten Selangor tersebut bersama mereka yang lain.

Kejayaan Selangor dalam perlawanan berkenaan menyaksikan mereka layak ke perlawanan akhir dalam acara bola sepak wanita dengan mereka bakal berdepan Sabah untuk menentukan pemenang pingat emas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram