PASUKAN bola sepak Kelantan berjaya membuat kejutan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) apabila mengejutkan pasukan pilihan Johor dalam aksi suku akhir pada Isnin.
Kemenangan 3-1 itu membolehkan wakil Pantai Timur mara ke pusingan separuh akhir.
Bagaimanapun, di sebalik pencapaian tersebut, terdapat isu lain menjadi perhatian terhadap pasukan tersebut bola sepak SUKMA Kelantan.
BACA LAGI: SUKMA 2024: Pelari pecut Selangor raih emas, pecahkan rekod 16 tahun
BACA LAGI: Shahrul Saad jadi idola, resipi rahsia bek tengah bantu Perak mara ke suku akhir SUKMA
Ia selepas media melaporkan pasukan tersebut disifatkan berada dalam keadaan agak 'daif' kerana tidak mendapat elaun, pakaian rasmi dan sebarang bentuk bantuan.
Malah, menurut laporan Harian Metro, ketua jurulatih bola sepak SUKMA Kelantan, Ariff Hashim sendiri mengakui skuad kendaliannya kelihatan seperti sebuah pasukan 'terabai'.
Menceritakan mengenai pasukannya, jurulatih berusia 55 tahun itu berkata, mereka tidak mendapat sebarang bantuan kerana sukan berkenaan diletakkan dalam kategori C oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan kerana dianggap tidak berpotensi mendapat pingat.
Situasi yang dihadapi skuad Kelantan tersebut turut mendapat perhatian warga maya yang rata-ratanya menyifatkan keadaan tersebut sebagai menyedihkan.
Pasukan bola sepak SUKMA Kelantan menewaskan Johor 3-1 dalam aksi suku akhir pada Isnin. — Facebook
Menurut Po'Nique Sallehuddin, perkara yang berlaku terhadap pasukan Pantai Timur itu adalah sangat memalukan.
"Amat menyedihkan melihat para pemain dalam keadaan daif itu bila mana tidak mendapat pakaian yang sepatutnya selaku wakil Kelantan acara bola sepak di kala pasukan negeri lain gah dengan imej pakaian sukan masing-masing.
"Sudahlah tidak dibekalkan dengan pakaian kontinjen, elaun juga tidak diberikan walhal mereka bermain atas bendera Kelantan dan berdaftar dengan SUKMA tahun ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Po'Nique Sallehuddin berkata, situasi yang dihadapi itu bukanlah kali pertama berlaku.
"Perkara ini bukan baru, ianya pernah berlaku 26 tahun lepas (1998) ketika Selangor menjadi tuan rumah SUKMA. Penyertaan bola sepak Kelantan ketika itu juga dinafikan hak dengan alasan peruntukan tidak mencukupi sekali gus mengecewakan pemain bola sepak Kelantan ketika Itu.
"Ini diceritakan sendiri oleh salah seorang bekas pemain bola sepak Kelantan ketika itu yang kecewa apabila Kelantan satu satunya negeri tidak menyertai acara bola sepak SUKMA 1998.
"Sudah 26 tahun berlalu namun cerita yang sama juga diberikan untuk tahun ini tiada peruntukan. Agak memalukan apabila pasukan bola sepak Sukma Kelantan di cop serba daif ketika hadir ke Sarawak," katanya.
Mengulas lanjut, Po'Nique Sallehuddin berkata, keadaan dihadapi pasukan bola sepak negeri itu menjejaskan imej kontinjen SUKMA Kelantan.
Dia turut mempersoalkan pihak yang seharusnya bertanggungjawab ekoran situasi yang berlaku.
"Dalam isu ini, pihak MSN Kelantan dan Exco Sukan Negeri Patut dipertanggungjawabkan di atas terlepas pandang situasi ini sehingga pihak media cop pemain bola sepak SUKMA Kelantan hadir ke Sarawak dalam keadaan serba daif," katanya.
Ujarnya, dia turut berharap perkara tersebut turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana ia juga sedikit sebanyak menjejaskan imej SUKMA.
"Kita tidak mahu lagi perkara-perkara seperti ini menjejaskan moral atlet dan imej kontinjen untuk SUKMA yang akan datang apatah lagi negeri Kelantan juga bakal menjadi tuan rumah SUKMA berikutnya pada tahun 2028 buat pertama kali sejak diperkenalkan pada 1986," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram