[VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA


  • Podium
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Pasukan sepak takraw wanita Sabah menyumbang tiga pingat emas buat Negeri di Bawah Bayu dalam temasya SUKMA XXI Sarawak.

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan penghargaan ucapan tahniah kepada pasukan sepak takraw wanita yang berjaya meraih tiga pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI 2024.

Hajiji menerusi laman Facebook rasminya mengucapkan tahniah kepada pasukan Sabah yang berjaya meraih pingat emas dalam acara sepak takraw.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Muhibah, Bintulu, Sarawak itu menyaksikan 'Sumandak Sabah' meraih tiga pingat emas menerusi acara berpasukan, quadrants dan double bagi kategori sepak takraw wanita.

BACA LAGI: [VIDEO] Fans Borneo bersaudara, sama-sama nyanyi lagu Bekikis Bulu Betis ketika Sabah tewaskan Sarawak raih emas takraw SUKMA

BACA LAGI: [VIDEO] Main rally panjang, atlet badminton Borneo bagai bersaudara, 'luang masa' di gelanggang SUKMA

“Baru sebentar tadi mendapat khabar gembira dan membanggakan! Tambahan pingat emas untuk Sabah sekali lagi disumbangkan oleh skuad sepak takraw wanita.

“Apa yang lebih membanggakan, Sabah menyapu bersih pingat emas dalam kategori berpasukan, quadrants dan double bagi kategori wanita,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya pada Selasa.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru kepada semua peminat sukan tanah air untuk terus memberikan sokongan padu kepada pasukan Sabah dan seluruh skuad SUKMA negeri.

Perjuangan atlet sepak takraw Sabah belum berakhir apabila selepas ini kontinjen berkenaan akan bertanding untuk acara regu dalam perlawanan yang dijadualkan pada Rabu.

"Esok skuad wanita sepak takraw akan bertanding untuk acara regu, mari semua terus berikan sokongan kepada mereka dan seluruh skuad sukma Sabah,” katanya.

Untuk rekod, Sabah menewaskan pasukan tuan rumah, Sarawak dalam kategori berpasukan dan quadrants yang masing-masing dengan keputusan 3-0 dan 2-0.

Manakala, acara beregu pula pasukan Negeri di Bawah Bayu itu menundukkan Perlis dengan keputusan 2-0. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram