KIRA-KIRA seminggu lagi sebelum pentas final Piala FA antara Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) menghiburkan penyokong bola sepak tanah air dengan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dekat Kuala Lumpur menjadi saksi hasil persiapan dari kedua-dua pasukan.
Menelusuri kembali perjalanan Selangor untuk ke pentas akhir Piala FA, skuad Gergasi Merah terlebih dahulu menewaskan Negeri Sembilan di pusingan 16, memenangi penentuan sepakan penalti ke atas Kuching City ketika suku akhir dan mengalahkan Terengganu di saingan separuh akhir.
Manakala, Harimau Selatan yang hadir dengan status juara bertahan pula tiada masalah menewaskan Kelantan Darul Naim di pusingan 16, memalukan Malaysia Universiti di fasa suku akhir dan mematahkan harapan Kedah Darul Aman FC pada saingan semi final.
BACA LAGI: Awas JDT, bekas pemain Liverpool, Chelsea, Arsenal menanti anda di ACL Elite
Jika dilihat dari segi statistik final Piala FA dua tahun kebelakangan ini, Harimau Selatan sememangnya berstatus pasukan pilihan susulan JDT berhasil mengekalkan kejuaraan sejak musim 2022.
Manakala, kali terakhir Selangor FC pula berhasil mara ke pusingan akhir Piala FA pula pada musim 20218, yang menyaksikan skuad The Red Giants tewas dengan keputusan 0-2 ke atas Pahang.
Tahun 2024 pula seolah-olah membuka peluang Selangor untuk menjulang trofi Piala FA lagi-lagi selepas melihat persiapan Gergasi Merah yang baru sahaja selesai dengan aksi Piala Sultan Selangor 2024.
Skuad Pilihan Selangor yang dibimbing oleh Nidzam Jamil berjaya mempertahankan piala itu untuk terus kekal di negeri Selangor selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Antara momen aksi Selangor menentang Pilihan Singapura di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada Sabtu. — Instagram/Selangorfc
Dalam aksi persahabatan itu, Nidzam menurunkan hampir kesemua pemain ketika menentang Pilihan Singapura kerana ingin memberi minit permainan kepada setiap pemain dan mendapatkan moral terbaik untuk di bawa ke pentas final itu nanti.
Persediaan Selangor untuk bertemu JDT juga sebelumnya sudah mendapat tonik tambahan apabila menewaskan Sabah FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Likas pada Selasa.
Sementara itu, JDT pula dilihat perlu memberi segala-galanya di sesi latihan selepas aksi menentang Perak bagi saingan Liga Super ditunda susulan hujan lebat di Stadium Perak dekat Ipoh, Perak pada Sabtu.
Aksi Perak menentang JDT pada Sabtu terpaksa ditunda kepada tarikh baharu yang akan ditetapkan. — Instagram/JDT
Perlawanan yang sepatutnya menjadi aksi pemanas badan mereka menjelang final Piala FA itu ditunda ke satu tarikh baharu selepas hujan lebat membasahi permukaan padang sehingga menyaksikan permainan terpaksa ditunda ke satu tarikh baharu.
Dengan ketiadaan perlawanan kompetitif, sesetengah penyokong mula risau jika ia memberi kesan kepada pretasi Harimau Selatan menjelang perlawanan getir bertemu Gergasi Merah nanti.
Bagaimanapun, JDT masih kekal JDT kerana mentaliti juara dan pilihan pemain berkualiti mereka pastinya boleh menjadi asbab skuad kendalian Hector Bidoglio tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan trofi Piala FA di Iskandar Puteri.
— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram