ACLE: JDT bakal berdepan Kim Pan-gon dan Dion Cools di pusingan awal


  • Podium
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

JDT akan berdepan Kim Pan-gon dan Ulsan HD di laman sendiri. — JOHOR Southern Tigers

SELEPAS Selangor FC mengetahui nasib mereka dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2. Satu wakil Malaysia di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Johor Darul Ta'zim (JDT) mengetahui siapakah lawan mereka di peringkat liga (league stage).

Berbeza dengan Selangor yang perlu bermain enam perlawanan peringkat kumpulan, JDT perlu berdepan lapan aksi peringkat liga dengan empat di laman sendiri dan empat di gelanggang lawan.

Harimau Selatan diundi berdepan Ulsan HD (Korea Selatan), Buriram United (Thailand), Pohang Steelers (Korea Selatan), Shanghai Shenhua (China) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri.

Sementara JDT akan berdepan Shanghai Port (China), Vissel Kobe (Jepun), Shandong Taishan (China) dan Gwangju (Korea Selatan) di tempat lawan.

BACA LAGI: ACL2: Selangor diundi bertemu gergasi Korea Selatan, Thailand

BACA LAGI: JDT mungkin dah tahu 'game play' Ulsan HD, taktikal Kim Pan-gon dalam tangan

Apa yang menarik mengenai undian JDT adalah mereka akan didatangi oleh bekas pengendali Harimau Malaya iaitu Kim Pan-gon bersama Ulsan HD. Selain itu, Dion Cools dan Buriram United juga akan bertandang ke SSI.

Peringkat liga bagi saingan ACLE itu menyerupai dengan format digunakan bagi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Eropah. Format tersebut digunakan serentak bermula musim 2024/2025.

Kesemua kelab dari zon Barat dan Timur perlu bermain lapan perlawanan peringkat liga untuk menentukan tempat mereka ke pusingan seterusnya.

Setiap zon dibarisi 12 kelab dengan lapan yang terbaik selepas kesemua aksi peringkat liga selesai akan mara ke pusingan 16 terbaik.

Pusingan 16 terbaik akan dimainkan secara timbal balik sebelum lapan kelab yang mara ke suku akhir akan bermain di Arab Saudi.

Arab Saudi akan menjadi tuan rumah bagi kesemua perlawanan bermula dari suku akhir hingga perlawanan akhir. Bermula dari suku akhir, kesemua aksi diadakan secara perlawanan tunggal (single-legged). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram