Sesungguhnya ‘pemain bukan mesin’ itu benar, AFF tangguh tarikh sepak mula Piala Asean


  • Podium
  • Selasa, 20 Ogos 2024

AFF menukar tarikh penganjuran Piala Asean 2024 untuk mengelak daripada bertindih dengan kejohanan anjuran AFC.

PENGANJURAN saingan bola sepak serantau iaitu Piala Asean dikatakan mengalami penangguhan bagi edisi 2024.

Hal ini kerana, Persatuan Bola Sepak Asean (AFF) mengambil kira penyertaan kelab-kelab Asia Tenggara dalam dua kejohanan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Sebelum ini, Piala Asean yang dianjurkan secara dwi-tahunan itu sepatutnya diadakan pada 23 November hingga 21 Disember.

BACA LAGI: ACLE: JDT bakal berdepan Kim Pan-gon dan Dion Cools di pusingan awal

BACA LAGI: ACL2: Selangor diundi bertemu gergasi Korea Selatan, Thailand

LEAD-02-BERNAMA-AFF-CUP-Malaysia-Vietnam

Piala Asean 2024 akan ditangguhkan tarikh penganjurannya. — Agensi

Akan tetapi, AFF menukar tarikh tersebut kepada 9 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025, 16 hari daripada tarikh permulaan asal kejohanan.

Keputusan ini dibuat kerana mengambil kira penyertaan kelab-kelab dalam kejohanan AFC dengan majoritinya menyertai ACL2.

Antara kelab-kelab yang menyertai ACL2 musim ini adalah Selangor FC (Malaysia), Dynamic Herb Cebu (Filipina), Muangthong United (Thailand), Lion City Sailors (Singapura), Persib Bandung (Indonesia) dan banyak lagi.

Jika diteruskan dengan tarikh asal, ia akan bertindih dengan hari perlawanan kejohanan anjuran AFC yang diadakan pada 4 November hingga 4 Disember untuk ACLE dan 7 November hingga 5 Disember bagi ACL2.

Oleh itu, perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk Selangor dalam ACL2 akan terganggu jika Piala Asean diteruskan pada tarikh asal.

Walaupun berita penangguhan Piala Asean sudah mula tersebar di negara-negara seperti Thailand dan Vietnam, tetapi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum mendapat sebarang perkhabaran rasmi mengenai itu.

"Kami ada mendegar ura-ura berkenaan penangguhan itu, tapi FAM masih belum menerima sebarang makluman rasmi berkenaan perkara tersebut," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman kepada Majoriti.

Malaysia mempunyai gelaran satu gelaran Piala Asean dengan Harimau Malaya menjuarainya pada 2010.

Sebelum ini, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan penganjuran Piala Asean mengacau pemain dan jadual pertandingan kerana dilangsungkan di luar kalendar FIFA.

Jelas Tunku Ismail, pemain bola sepak bukanlah 'mesin' yang mampu bermain sepanjang tahun tanpa cuti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram