PERLAWANAN Liga Super melibatkan Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa ditunda kepada tarikh baharu yang akan ditetapkan susulan hujan lebat di Stadium Perak dekat Ipoh, Perak pada Sabtu.
Pada awalnya perlawanan diteruskan tempat pukul 9 malam walaupun hujan lebat membasahi permukaan padang sehingga menyaksikan permainan agak perlahan dari kedua-dua pasukan.
Ketika perlawanan memasuki minit ke-3, pengadil bertugas iaitu Razlan Joffri Ali menangguhkan perlawanan dan mengarahkan semua pemain meninggalkan padang selama hampir sejam sebelum diputuskan untuk ditunda.
BACA LAGI: Awas JDT, bekas pemain Liverpool, Chelsea, Arsenal menanti anda di ACL Elite
BACA LAGI: JDT mungkin dah tahu 'game play' Ulsan HD, taktikal Kim Pan-gon dalam tangan
Tindakan pihak komisier perlawanan untuk menangguhkan perlawanan dianggap keputusan susulan pemain berisiko mendapat kecederaan jika permainan diteruskan dalam keadaan padang berlecak.
Keadaan padang berkenaan juga dijadikan bahan jenaka oleh ultras JDT, Boys Of Straits (BOS) dengan mereka mengalunkan chant berbunyi 'datang jauh-jauh, Perak tadah air'.
Tidak tersentak dengan chant berkenaan, laman penyokong Perak iaitu Silverstates Supporters Fan Club memberitahu bahawa ia adalah hujan rahmat berikutan sudah beberapa minggu bumi Perak tidak dibasahi dengan titisan air hujan.
Selain itu, tempoh tiga minit bermain itu juga memberi tanggapan buruk Liga Malaysia kepada bakal import baharu Harimau Selatan iaitu Jorge Obregon yang difahamkan baru tiba di tanah air pada Jumaat.
Memetik hantaran laman penyokong bola sepak tanah air, Palatao Bola di Instagram, penyerang dari Colombia yang dikaitkan dengan JDT itu sudah tiba di tanah air selepas ejennya memuat naik foto Stadium Sultan Ibrahim di Insta Story.
Tangkap layar hantaran dari Palatao Bola.
Meskipun tiada gambar menyaksikan Obregon menyaksikan aksi JDT menentang Perak di Ipoh namun sudah pasti pemain itu menonton perlawanan bakal majikannya menerusi platform penstriman langsung.
"Dia tengok perlawanan main dalam sawah tadi," kata penyokong Harimau Selatan, Firdz. Morello.
"Satu tanggapan yang kurang baik mengenai Liga Malaysia kalau dia tengok aksi JDT menentang Perak," bagi penyokong bola sepak domestik, sarrah.
Dalam pada itu, foto yang dimuat naik ejen Obregon juga secara tidak langsung memberitahu bahawa Harimau Selatan akan mengumumkan ketibaan bekas penyerang HNK Rijeka itu tidak lama lagi.
Desas-desus pemain berusia 27 tahun itu ke JDT juga disulam dengan berita kurang enak apabila agensi media Croatia, Sportske Novosti melaporkan Obregon enggan turun ke padang latihan demi memastikan perpindahan itu dimeterai.
Tindakan itu dibuat selepas Presiden HNK Rijeka, Damir Miskovic tidak mahu menerima tawaran pertama bernilai €300,000 (RM1.46 juta) dari JDT.
Aksi Perak menentang JDT pada Sabtu terpaksa ditunda kepada tarikh baharu yang akan ditetapkan. — Instagram/Obregon
Pasukan itu kemudiannya terpaksa menerima tawaran dari JDT berkenaan dengan media tersebut turut melaporkan Obregon sudah melepasi ujian kesihatan dan kecergasan skuad Harimau Selatan.
Untuk rekod, bekas penyerang skuad Bawah 20 Tahun (B-20) Colombia berkenaan sudah merekodkan 17 gol dan 10 bantuan jaringan dalam 105 penampilannya buat pasukan berpangkala di Croatia, HNK Rijeka.
Catatan itu sudah tentu disedari JDT yang percaya bahawa pemain berkenaan mampu membantu mereka, lebih-lebih lagi dalam misi pasukan untuk menjadi pasukan digeruni di pentas Asia . — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram