Tolak isteri jatuh gaung: Suami mengaku tak bersalah buat ugutan, cubaan bunuh isteri


Azzuan didakwa atas cubaan membunuh Nor Diyanah, menyebabkan kecederaan di tepi jalan berhampiran KM31.2 Lebuhraya Timur-Barat laluan Gerik-Jeli, daerah Gerik pada 27 Julai. — mStar

SEORANG lelaki didakwa memukul dan menolak isterinya ke dalam gaung mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Jumaat atas pertuduhan ugutan jenayah dan cubaan membunuh.

Mohd Azzuan Ahmad, 39, memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sesyen Rohaida Ishak.

Bagi pertuduhan pertama, bapa kepada lima anak itu didakwa melakukan ugutan jenayah dengan membuat ugutan bunuh terhadap isterinya Nor Diyanah Ahmad, 32, dengan menaiki kenderaan ketika dalam perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Kuala Kangsar pada malam 26 Julai lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Mantera tak menjadi, pawang maut dibaham buaya

BACA LAGI: 'Bukan kehilangan tapi kita memulangkan', isteri reda rangka ditemui milik Muhammad Syafiq

553 (2)

Suspek ditahan polis Baling di Kedah pada 31 Julai lalu berikutan satu lagi kes yang melibatkan kecederaan terhadap abangnya dalam bidang kuasa itu. — mStar

Kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Azzuan didakwa atas cubaan membunuh Nor Diyanah, menyebabkan kecederaan di tepi jalan berhampiran KM31.2 Lebuhraya Timur-Barat laluan Gerik-Jeli, daerah Gerik, antara pukul 4 pagi dan 5 pagi pada 27 Julai.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Firdaus Nor Azlan yang mengendalikan kes itu tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa masih isteri sah.

Bagaimanapun, Muhammad Firdaus menyatakan sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin, pihak pendakwaan memohon RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan RM20,000 bagi pertuduhan kedua, dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Hennie Soraya Hanafi, memohon jaminan serendah mungkin bagi kedua-dua pertuduhan, dengan alasan dia tidak mempunyai pendapatan tetap dan perlu menanggung lima anaknya yang bersekolah.

Rohaida tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 19 September untuk sebutan kes seterusnya, dan untuk pelantikan peguam.

Pada 27 Julai lalu, dilaporkan seorang wanita berusia 32 tahun nyaris maut di tangan suaminya selepas didakwa dipukul, dicekik dan ditolak ke dalam gaung berikutan pertengkaran.

Mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan merangkak keluar dari gaung ke tepi jalan, di mana dia ditemui orang yang lalu lalang kira-kira pukul 2 petang hari yang sama.

Suspek ditahan polis Baling di Kedah pada 31 Julai lalu berikutan satu lagi kes yang melibatkan kecederaan terhadap abangnya dalam bidang kuasa itu.

Polis Gerik kemudian menahan semula suspek, yang direman tujuh hari dari 6 hingga 12 Ogos untuk siasatan lanjut berhubung dakwaan jenayah terhadap isterinya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram