Tak perlu risau, situasi pemain elit tinggalkan BAM bukan sesuatu yang pelik


  • Podium
  • Sabtu, 17 Ogos 2024

Gandingan Sze Fei-Izzuddin semakin hampir meninggalkan BAM.

IA menjadi satu kelaziman untuk pemain-pemain badminton terutamanya yang berstatus elit untuk menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan dan bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Namun kini, dalam skuad kebangsaan dapat dilihat trend untuk menjadi pemain profesional dan tidak bersama BAM mula ketara.

Sebelum ini, perseorangan lelaki negara iaitu Lee Zii Jia dan perseorangan wanita, Goh Jin Wei antara nama yang tidak lagi bersama BAM.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ambik kau!' Perang saraf Nur Izzuddin berjaya robohkan mental beregu Jepun

BACA LAGI: [VIDEO] Piala Thomas: Malaysia kejutkan Jepun, Sze Fei-Izzuddin muncul wira ke separuh akhir

441365862_18254108377218462_4817198431233589535_n

Tindakan pemain meninggalkan BAM adalah perkara biasa

Kini, perseorangan lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dikatakan dalam perjalanan keluar daripada BAM. Melihat kepada situasi semakin ramai pemain elit meninggalkan badan induk itu, adakah ia sebenarnya satu situasi merisaukan buat badminton negara?

Menurut penganalisis badminton tempatan, Norbakti Alias, situasi tersebut tidak sepatutnya dirisaukan kerana keputusan pemain itu keluar lazimnya berkaitan ingin mendapatkan peluang tajaan lebih baik.

"Tidak salah untuk pemain utama memilih keluar daripada BAM, jika itu yang terbaik untuk mereka. Malah BAM dulu pun ada perancangan untuk pemain-pemain senior menjadi pro kerana sudah boleh menarik tajaan sendiri manakala persatuan memberi tumpuan menaikkan pemain lain (muda).

"Cuma apa yang merisaukan jika pemain keluar memilih bermusuhan dengan BAM, seolah-olah persatuan tidak pernah berjasa pada mereka," kata Norbakti kepada Majoriti.

Norbakti sendiri memahami tindakan Sze Fei-Izzuddin untuk meninggalkan BAM kerana faktor usia mereka yang kini mencecah 27 tahun.

Seiring peningkatan usia, mereka juga perlu mencari peluang yang lebih baik dan besar terutamanya dalam tajaan untuk mengembangkan karier mereka.

"Saya pasti mereka sudah ada menerima tawaran tajaan khususnya dari syarikat pengeluar raket, jika tidak pasti mereka tidak berani keluar begitu sahaja.

"Secara peribadi, saya rasa mereka memilih jalan ini kerana sedar saingan makin sengit dengan tiga lagi beregu muda di bawah mereka di BAM.

"Selain itu, Pada usia mereka yang akan mencecah 27 tahun mereka perlu memikirkan cara mendapat pulangan lebih besar daripada tajaan apatah lagi seorang sudah berumahtangga dan seorang lagi bakal berkahwin," jelasnya.

Melihat kepada trend ramai pemain meninggalkan BAM, Norbakti tidak risau yang ia akan berlaku secara besar-besaran.

Hal ini kerana, tidak semua pemain memilih meninggalkan BAM dan jika perkara itu berlaku, ia mungkin disebabkan nama mereka digugurkan.

"Kalau keluar beramai-ramai itu tidak. Jangan salah faham, ada kalanya pemain digugurkan oleh BAM.

"Jika pemain meninggalkan BAM, ada ketikanya sesuatu tajaan itu dibuat dengan syarat tertentu seperti pemain harus ada di dalam skuad. Jika ya, ia sedikit sebanyak memberi kesan. Jika tidak, kesannya tidaklah besar, malah boleh menjimatkan sedikit perbelanjaan BAM," ulas Norbakti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram