[VIDEO] 'Ambik kau!' Perang saraf Nur Izzuddin berjaya robohkan mental beregu Jepun


  • Podium
  • Jumaat, 03 Mei 2024

Izzuddin (kanan) menghasilkan perang saraf berkesan untuk bantu Malaysia tewaskan Jepun. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

MALAYSIA berjaya menempah slot di separuh akhir Piala Thomas selepas menghasilkan kemenangan bergaya 3-1 menewaskan Jepun.

Lee Zii Jia, Leong Jun Hao serta gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin berjaya menyumbang mata penting untuk membolehkan Malaysia berdepan China di separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu.

Kemenangan Sze Fei-Izzudin bertemu beregu kedua Jepun, Akira Koga-Taichi Saito cukup bermakna apabila ia menjadi pelengkap kejayaan Malaysia sekali gus berjaya membalas dendam kekalahan di perlawanan akhir Piala Thomas 2014 kepada lawan sama.

BACA LAGI: Sedekad kekalahan 2014, mampukah Malaysia akhirnya raih gelaran Piala Thomas?

BACA LAGI: Fokus buru Piala Thomas, ketepikan isu luar gelanggang — Roslin Hashim

Namun begitu, kemenangan itu diraih bukan dengan cara mudah. Gandingan negara perlu berdepan detik cemas apabila mereka tumpas set pertama 18-21.

Sze Fei-Izzuddin kemudiannya bangkit melawan di set kedua apabila menang 21-15 sebelum mengesahkan kejayaan dengan menguasai set penentuan 21-12.

Apa yang menarik mengenai kejayaan ini adalah teknik dan taktik bijak dilakukan oleh kedua-dua pemain negara ketika hendak menewaskan gandingan Jepun tersebut.

Sze Fei bertindak bijak dengan melakukan teknik flick serve yang berjaya memerangkap gandingan Jepun beberapa kali terutamanya di set penentuan.

Tetapi perang saraf yang dilakukan oleh Izzuddin tidak kurang hebatnya. Tular satu rakaman di laman X (Twitter) apabila Izzuddin melancarkan perang saraf sebaik saja berjaya mengutip mata untuk Malaysia.

Di saat dia hampir tidak berjaya membalas pukulan, Izzuddin melakukan gerakan ala akrobatik sambil berjaya memukul bulu tangkis dengan kuat hingga gagal diselamatkan pasangan Jepun.

Usai berjaya berbuat demikian, Izzuddin kemudiannya bangun lalu menjerit "Ambil kau!" kepada pasangan Jepun tersebut. Jelas sekali, terpancar kepuasan dalam dirinya apabila berjaya membalas pukulan itu.

Lebih menarik, kelihata Sze Fei yang mengangguk-angguk tanda setuju dengan tindakan Izzuddin tersebut kerana berjaya menganggu mental pemain Jepun.

Diharapkan Izzuddin, Sze Fei dan seluruh pasukan Malaysia boleh meneruskan rentak cemerlang sekaligus memberikan kejayaan buat negara berdepan China. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram