BEREGU lelaki nombor dua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei muncul wira apabila menghadiahkan mata kemenangan untuk membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir Piala Thomas pada Khamis.
Pasangan ranking ke-15 dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengatasi pasangan Jepun yang berada di kedudukan ke-16 dunia, Akira Koga-Taichi Saito dalam pertarungan tiga set 18-21, 21-15, 21-12 pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, China.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia meraih mata ketiga untuk menyingkirkan Jepun 3-1.
Lebih manis, kemenangan Izzuddin-Sze Fei pada Khamis menyaksikan mereka berjaya menamatkan badi kekalahan di tangan Koga-Saito selepas tewas dalam semua tiga pertemuan sebelum ini.
Beregu lelaki nombor dua negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei muncul wira apabila menghadiahkan mata kemenangan untuk membawa Malaysia.
Meskipun tewas di set pertama, naib juara Asia itu tetap memberi tentangan sengit apabila beberapa kali berjaya menyamakan kedudukan selepas ketinggalan sebelum terpaksa akur dengan kekalahan 18-21.
Mereka bagaimanapun bangkit dengan permainan lebih kemas di set kedua untuk mencatat kemenangan 21-15 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi set penentuan berlangsung penuh mendebarkan apabila kedua-dua pasangan saling mengejar mata tetapi Izzuddin-Sze Fei berjaya menyerap tekanan dengan baik untuk menoktahkan permainan dengan kemenangan 21-12, sekali gus membawa Malaysia melangkah ke separuh akhir.
Terdahulu, mata pertama skuad negara disumbangkan perseorangan pertama Lee Zii Jia yang menewaskan Kenta Nishimoto dan ia merupakan kemenangan kelapan Zii Jia dalam 11 pertemuan menentang Jepun.
BACA LAGI: Hasil didikan akademi JDT, 'Haaland Keningau' wakili Malaysia ke kejohanan Asean B-16
“Saya pastinya sangat gembira untuk memenangi mata pertama untuk pasukan.
“Nishimoto melakukan banyak kesilapan tanpa paksaan dalam permainan kedua sejujurnya. Saya tidak pasti apa yang salah untuk dia.
“Bagi saya, saya gembira kerana saya boleh memenangi perlawanan dengan cepat," kata Zii Jia.
Meskipun meraih kemenangan pertama untuk Malaysia, Jepun kembali menyamakan kedudukan menerusi beregu utama, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang mengatasi Aaron Chia-Soh Wooi Yik.
Kami bermula dengan baik tetapi pasangan Jepun itu memberi lebih tekanan kepada kami pada perlawanan kedua dan ketiga.
"Kami tidak dapat memperoleh mata semasa detik penting dalam perlawanan ketiga walaupun kami mengejar ketinggalan selepas ketinggalan dan kami kecewa," kata kapten, Wooi Yik.
Perseorangan kedua, Leong Jun Hao kembali meletakkan Malaysia di depan menerusi kemenangan ke atas Koki Watanabe sebelum Izzuddin-Sze Fei menyumbang mata kemenangan.
“Saya gembira dengan persembahan saya aksi tersebut. Ia adalah persembahan terbaik saya dalam kejohanan setakat ini dan saya cukup berpuas hati.
“Saya berjaya kekal konsisten sepanjang perlawanan dan mengekalkan tekanan ke atas Watanabe," kata Jun Hao.
Kejayaan itu menyaksikan Malaysia menamatkan kemarau lapan tahun untuk mara ke separuh akhir sejak kali terakhir pada edisi 2016 di Kunshan, China.
Kali terakhir skuad negara menjuarai Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
Di separuh akhir, Malaysia akan bertemu China yang menewaskan India 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir. — The Star/R.KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram